Selasa, 21 Februari 2017 | 7:52pm

Penyenaraian semula QSR masih spekulasi

KUALA LUMPUR: Laporan mengenai rancangan untuk menyenaraikan semula pengendali makanan segera terbesar negara, QSR Brands Bhd pada tahun ini, masih kekal sebagai spekulasi.

Pengurus Besar Operasi KFC di QSR Brands, Chandrasagran Munusamy, berkata sebarang keputusan akan diumumkan dalam masa terdekat ini.

QSR Brands mengendali dan menguruskan francais restoran KFC dan Pizza Hut di Malaysia dan pemegang francais tunggal di Singapura, Brunei dan Kemboja.

Jika rancangan penyenaraian semula itu menjadi kenyataan, ia akan menjadi satu daripada yang terbesar tahun ini kerana menurut laporan, penyenaraian itu boleh mengumpulkan sehingga RM1.6 bilion atau lebih.

Mengenai rancangan pengembangan, Chandrasagran berkata, syarikat itu merancang membuka 30 lagi cawangan di seluruh negara tahun ini dengan setiap restoran dijangka menelan kos antara RM1 juta dan RM4 juta.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran KFC Twister perasa baharu, di sini, hari ini.

Ketika ini KFC memiliki 664 cawangan di seluruh negara.

Sementara itu, berikutan permintaan yang tinggi, KFC Malaysia memperkenalkan pilihan dua perasa berbeza bagi KFC Twister baharu - Hot and Zesty Twister dan Cheesy Twister.

Pengurus Besar Kanannya, Angelina Villanueva, berkata KFC menjangka produk baharu itu menyumbang kira-kira lapan peratus kepada jumlah jualan tahun ini.

Beliau berkata permintaan terhadap produk 'on-the-go' ketika ini mendapat sambutan sangat menggalakkan dan produk jenis ini memenuhi keperluan pengguna.

"Kami teruja dengan produk ini. Ramai peminat yang bertanya mengenainya terutamanya di media sosial.

"Hot & Zesty amat menyegarkan dan bagi mereka yang menggemari perasa cheesy KFC, kami menyediakan cheesy twister dengan sos cheesy, jalapeno dan mayo," kata Villanueva. - BERNAMA

Berita Harian X