Selasa, 21 Februari 2017 | 8:46am

Harga minyak ditutup tinggi di pasaran New York

NEW YORK: Harga minyak meningkat sedikit ketika ditutup di pasaran New York awal pagi ini selepas pelabur yakin dengan tahap keberkesanan langkah pengurangan pengeluaran komoditi itu.

Kenaikan itu dicatatkan walaupun ketika peningkatan pengeluaran minyak Amerika Syarikat (AS) dan simpanan stok kekal tinggi yang meletakkan harga dalam semakan.

Penghantaran minyak mentah pengeksport utama OPEC, Arab Saudi pada Disember susut kepada 8.014 juta tong sehari (bpd) daripada 8.258 juta bpd pada November, demikian menurut data semalam.

Niaga hadapan minyak mentah Brent menamatkan sesi dagangan 0.7 peratus lebih tinggi kepada AS$56.18 setong.

Niaga hadapan minyak mentah AS, West Texas Intermediate menambah sekitar 29 cent atau 0.5 peratus kepada AS$53.69 sebelum urus niaga ditutup pada 13:00 EST, sejam setengah lebih awal disebabkan cuti Hari Presiden.

Jumlah dagangan purata Brent sekitar 181,000 lot daripada 1,000 tong setiap satu, di bawah kadar purata sekitar 205,000.

Jumlah dagangan bagi minyak mentah AS juga susut dengan hanya beberapa ribu lot diniagakan, sehari sebelum tamatnya tempoh niaga hadapan WTI untuk penghantaran Mac.

Secara purata, lebih daripada 300,000 lot minyak mentah AS didagangkan pada sesi berkenaan.

Harga menerima sokongan daripada kelemahan dolar. Pengukuhan dolar biasanya menjadikan minyak lebih mahal kepada pemegang mata wang lain.

Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan beberapa pengeluar lain termasuk Russia tahun lalu bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran hampir 1.8 juta bpd pada separuh pertama tahun ini.- Reuters

Berita Harian X