Ahad, 19 Februari 2017 | 7:21pm

Rakan strategik bantu Proton tembusi pasaran ASEAN, global

KUALA LUMPUR: Kerjasama Proton Holdings Bhd dengan rakan strategik menjanjikan situasi menang-menang bagi kedua-dua syarikat kerana ia membuka peluang baharu bagi mereka untuk menembusi pasaran ASEAN.

Ini bukan saja akan membawa kepada jualan lebih baik bagi pengeluar kereta nasional itu, tetapi juga meningkatkan pengeluaran di kilangnya di Shah Alam dan Tanjung Malim, yang ketika ini di bawah kapasiti.

Ia juga akan membolehkan rakan strategik asing itu memperoleh akses kepada kemudahan pembuatan sedia ada Proton.

Kemasukan ekuiti 51 peratus rakan kongsi asing itu, ditambah dengan suntikan dana, teknologi global, kepakaran, pewujudan pasaran dan penjenamaan baharu, akan seterusnya membantu mengembangkan jenama Proton di peringkat antarabangsa.

Bagi Malaysia, kerjasama strategik itu akan mewujudkan peluang pekerjaan, terutama bagi jurutera dan juruteknik kereta lepasan kolej dan universiti.

Justeru itu, usaha syarikat induk DRB-Hicom Bhd untuk memulihkan semula syarikat kereta nasional itu dengan menawarkan tender bagi rakan kongsi strategik berpotensi adalah satu langkah ke arah hala tuju yang betul.

DRB-Hicom memegang 100 peratus ekuiti dalam Proton.

Namun, tiada nama yang disebut sejak tarikh penyerahan akhir pada 15 Februari 2017.

Bagaimanapun, laporan berita pada September lalu menyatakan selain Geely Automobile Holdings, yang dilaporkan mendahului saingan, pengeluar Peugeot, PSA, Suzuki Motor Corp dari Jepun dan pengeluar kereta Perancis Renault SA juga menunjukkan minat terhadap perkongsian itu.

Rabu lalu, DRB-Hicom berkata, rakan strategik asing baharu itu akan diumumkan pada separuh pertama 2017.

Dalam menganalisis kemungkinan perkongsian itu, persoalan yang timbul adalah siapakah yang mahu menjadi rakan strategik asing bagi sebuah syarikat kereta yang mencatatkan prestasi kewangan lemah dan mempunyai masalah dari segi perniagaan?

Selain itu, bahagian pasarannya juga semakin menurun.

Namun, jika dinilai dengan teliti, Proton sebenarnya memiliki sesuatu yang berharga untuk ditawarkan.

Pertamanya, semua kilang pemasangannya di Tanjung Malim dan Shah Alam memiliki gabungan kapasiti sehingga 400,000 kereta setahun.

Malah, dengan jualan Proton lebih 100,000 unit setahun, kedua-dua kilang ini masih menghasilkan pengeluaran di bawah kapasiti.

Dengan membeli pegangan Proton, rakan strategik asing memperoleh jualan lebih 100,000 kereta, selain kemudahan pembuatan bagi menghasilkan lebih banyak kereta untuk pasaran ASEAN.

- BERNAMA

Berita Harian X