Khamis, 16 Februari 2017 | 9:31pm

Harga minyak teruskan penurunan

LONDON: Harga minyak jatuh berikutan kenaikan simpanan bahan api dan pengeluaran minyak mentah di Amerika Syarikat (AS) yang mempengaruhi harga.

Ia berlaku walaupun pemotongan bekalan yang sedang dipimpin Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dapat menghalang pasaran minyak daripada terus menjunam.

Kontrak hadapan minyak mentah Brent diniagakan kepada AS$55.69 setong pada 0751 GMT, jatuh 6 cents daripada penutup terakhirnya.

Kontrak hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) jatuh 10 cents kepada AS$53.01 setong.

OPEC dan pengeluar lain termasuk Russia bersetuju untuk mengurangkan output sebanyak 1.8 juta tong sehari (bpd) pada separuh pertama 2017, dan anggaran membayangkan tahap pematuhan OPEC berada pada sekitar 90 peratus.

Pemotongan pengeluaran disasarkan untuk membendung lambakan bekalan bahan api global yang membelenggu pasaran sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun, simpanan minyak masih berlebihan dan bekalannya tinggi, khususnya di AS.

Simpanan minyak mentah dan bahan api AS meningkat ke paras tertinggi minggu lalu ketika syarikat penapis minyak mengurangkan output dan permintaan bahan api menjadi lemah, kata Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA), semalam.

Simpanan minyak mentah meningkat 9.5 juta tong pada minggu berakhir 10 Februari, hampir tiga kali lebih tinggi daripada jangkaan penganalisis, sekali gus meningkatkan stok komersial ke paras tertinggi dalam sejarah, 518 juta tong. - REUTERS

Berita Harian X