Rabu, 8 Februari 2017 | 10:10am

Harga minyak kekal rendah

SINGAPURA: Harga minyak jatuh hari ini, melanjutkan kejatuhan yang dicatatkan semalam berikutan peningkatan besar dalam inventori bahan api Amerika Syarikat (AS) dan kejatuhan dalam permintaan China.

Situasi itu sekali gus menunjukkan pasaran minyak mentah global kekal dalam lebihan meskipun usaha mengurangkan pengeluaran yang diterajui Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Di dagangan Asia, kontrak hadapan minyak mentah Brent, penanda aras bagi harga minyak, didagangkan pada paras AS$54.53 setong pada 0111 GMT, jatuh 52 cents atau 0.94 peratus berbanding penutup sebelumnya.

Kontrak hadapan minyak mentah AS, West Texas Intermediate (WTI) berada pada paras AS$51.52 setong, jatuh 65 cents atau 1.25 peratus.

Peniaga berkata, kejatuhan mendadak itu berikutan peningkatan besar di luar jangkaan dalam inventori produk minyak mentah dan ditapis AS, demikian mengikut laporan Institut Petroleum Amerika (API).

Inventori minyak mentah meningkat sebanyak 14.2 juta tong bagi minggu berakhir 3 Februari kepada 503.6 juta tong, berbanding jangkaan penganalisis yang mengunjurkan peningkatan 2.5 juta tong.

Stok simpanan petrol meningkat sebanyak 2.9 juta tong berbanding peningkatan 1.1 juta tong yang diunjurkan penganalisis dalam pungutan pendapat Reuters.

Terdapat petunjuk lain di pasaran luar AS yang mana permintaan minyak China pada 2016 berkembang pada paras paling perlahan dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun, demikian mengikut perkiraan Reuters berdasarkan perangkaan rasmi.

Pertumbuhan permintaan minyak China merosot kepada 2.5 peratus pada 2016, jatuh daripada 3.1 peratus pada 2015 dan 3.8 peratus pada 2014, didorong oleh kejatuhan mendadak dalam penggunaan diesel manakala penggunaan petrol jatuh daripada pertumbuhan dua angka. - REUTERS

Berita Harian X