Isnin, 6 Februari 2017 | 6:37pm

Prospek industri getah cerah

KUALA LUMPUR: Kekurangan bekalan getah asli dan pemulihan ekonomi dunia mencerahkan prospek industri tahun ini dan akan meningkatkan permintaan global.

Negara pengeluar utama, Malaysia dan Thailand, mengalami kekurangan bekalan kerana musim hujan berpanjangan sehingga mengganggu pengeluaran.

Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), dalam Prospek Ekonomi Dunia bagi Oktober 2016, berdasarkan senario ekonomi dunia yang dianggarkan berkembang pada kadar lebih pantas sebanyak 3.4 peratus tahun ini, kekurangannya ia sebanyak 350,000 tan metrik tahun ini.

"Defisit bekalan getah asli ini dijangka lebih teruk dirasai sehingga Mei 2017 atas faktor bermusim yang akan menjejaskan bekalan secara keseluruhan," menurut IMF.

Lembaga Getah Malaysia (LGM) berkata, musim hujan yang berpanjangan di Malaysia dan banjir di negara pengeluar getah asli terbesar dunia, Thailand, juga akan menaikkan harga, komoditi yang amat penting bagi pengeluaran tayar.

"Harga di Malaysia, terutamanya SMR 20, mencecah paras tertinggi dalam lima tahun pada 1,005.5 sen (pada 27 Januari 2017) sejak mencapai paras tertinggi 1,139 sen pada 26 Januari 2013," katanya kepada BERNAMA.

Menurutnya, harga akan meneruskan arah aliran meningkat tahun ini, didorong pemulihan dalam pasaran minyak mentah, kebimbangan bekalan dan jangkaan pemulihan ekonomi global yang diterajui AS.

LGM berkata, pertumbuhan penggunaan getah asli global tahun ini diunjurkan naik sedikit pada kadar antara 1.9 peratus dan 2.3 peratus setelah permintaan meningkat di rantau ini selaras peningkatan sederhana dalam pertumbuhan ekonomi.

Ia berkata, penggunaan getah asli akan disokong pengembangan berterusan dalam kenderaan dunia, harga semasa rendah dan dalam beberapa kes, keperluan untuk menambah stok," katanya.

Ia berkata, mengikut Prospek Industri Getah Dunia yang diterbitkan Kumpulan Kajian Getah Antarabangsa pada Jun 2016, jumlah permintaan getah asli dunia pada 2017 diunjur sebanyak 12.73 juta tan dan pengeluaran 12.78 juta tan.

"Tahap pengeluaran dijangka memberikan sedikit sentimen positif kepada pasaran getah dan harga getah asli purata bagi tahun 2017. Ia dijangka meningkat sedikit disebabkan keadaan pasaran yang lebih baik," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X