Khamis, 2 Februari 2017 | 10:41pm

Nokia catat untung lebih baik daripada unjuran penganalisis

HELSINKI: Finland, pengeluar rangkaian peralatan jenama Nokia, mencatatkan keuntungan suku tahunan lebih baik daripada yang diunjurkan, didorong pengurangan kos dan perolehan daripada Alcatel-Lucent.

Nokia dan pesaingnya, Ericsson dari Sweden dan Huawei dari China, kini berusaha keras memenuhi permintaan daripada kalangan pengendali syarikat telekomunikasi yang memerlukan sambungan rangkaian 4G dan menaik taraf rangkaian kepada 5G untuk sambungan lebih pantas, pada masa depan.

Nokia mengambil alih Franco-American Alcatel-Lucent, tahun lalu, untuk memperluaskan operasinya selain menyasarkan pengurangan kos sehingga 1.2 bilion euro (AS$1.3 billion), daripada kos tahunan menjelang 2018.

Nokia berkata, walaupun pihaknya menjangkakan pasaran rangkaian global jatuh sekitar dua peratus tahun ini, ia masih menjangkakan wujud peluang pasaran di kawasan seperti Amerika Utara, India dan Jepun.

"Nokia, Ericsson dan juga Huawei kini memfokuskan lebih kepada keuntungan daripada pertumbuhan. Walaupun pasaran mungkin akan jatuh tahun ini, harga tetap akan naik," kata penganalisis Inderes, Mikael Rautanen.

Kumpulan Nokia, mencatatkan pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) sebanyak 940 juta euro (AS$1 bilion) atau susut 27 peratus bagi suku keempat, berbanding tahun lalu.

Jumlah berkenaan jauh lebih baik daripada unjuran purata penganalisis iaitu sebanyak 788 juta euro, menurut satu tinjauan Reuters.

Jualan unit rangkaian bagi tempoh sama turut mencatatkan penurunan 14 peratus, lebih daripada jangkaan, sementara margin operasinya pada 14.1 peratus, melebihi jangkaan pasaran sebanyak 11.7 peratus.

Pada tahun lalu, margin rangkaian Nokia merekodkan sebanyak 8.9 peratus, dan tahun ini syarikat itu menjangkakan margin antara lapan hingga 10 peratus.

Reuters

Berita Harian X