Khamis, 2 Februari 2017 | 6:49pm

Ahmad Dilantik Pengerusi Baharu Alliance Bank

TAN Sri Ahmad Mohd Don
TAN Sri Ahmad Mohd Don

KUALA LUMPUR: Alliance Bank Malaysia Bhd mengumumkan pelantikan Tan Sri Ahmad Mohd Don sebagai Pengerusi dan Pengarah Bukan Eksekutif Bebas bank berkenaan berkuat kuasa, pada 1 Februari 2017.

Dalam satu kenyataan hari ini, bank itu berkata Ahmad mempunyai pengalaman luas dalam bidang kewangan dan perbankan selain pernah dilantik pelbagai jawatan di Pernas Securities Sdn Bhd; Permodalan Nasional Bhd dan Malayan Banking Bhd (Maybank).

Beliau turut berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Eksekutif Maybank dari tahun 1991 hingga 1994.

Ahmad juga pernah menjadi Gabenor Bank Negara Malaysia untuk tempoh tiga tahun bermula Mei 1994 hingga Ogos 1998.

Pada masa ini, Ahmad adalah Pengerusi Lembaga Zurich Takaful Bhd; Zurich Insurance Malaysia Bhd; Hap Seng Plantations Holdings Bhd dan Sunway REIT Management Sdn Bhd.

Beliau juga menjawat jawatan pengarah dalam Lembaga United Malacca Bhd dan MAA Group Bhd.

Selain itu, beliau juga adalah 'Felo Institute of Chartered Accountants' di England dan Wales serta ahli Malaysian Institute of Certified Public Accountants.

Ahmad memiliki Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam bidang Ekonomi dan Perniagaan daripada Aberystwyth University, United Kingdom.

Berita Harian X