Selasa, 31 Januari 2017 | 7:33pm

Ringgit ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS hari ini selepas mata wang Amerika Syarikat itu merosot berikutan kebimbangan yang timbul akibat pendirian tegas Donald Trump ke atas dasar imigresen, kata peniaga.

Pada 6 petang, mata wang itu didagangkan pada 4.4280/4310 berbanding dolar AS daripada 4.4300/4330 yang direkodkan Jumaat lalu.

Seorang peniaga berkata, prestasi ringgit juga sejajar dengan kebanyakan mata wang membangun Asia yang lain, semuanya naik berbanding dolar.

"Terdapat ketidaktentuan dalam pasaran yang berpunca daripada dasar Trump serta kesannya ke atas unjuran ekonomi AS.

"Arahan beliau ke atas pengharaman sementara kemasukan pelarian dan rakyat dari tujuh negara Islam memberi kesan ke atas dolar AS," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali pound British.

Ia susut berbanding yen kepada 3.8897/8930 daripada 3.8522/8565 yang dicatatkan Jumaat lalu, merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.1212/1244 daripada 3.1046/1078 dan turun berbanding euro kepada 4.7415/7460 daripada 4.7370/7411.

Mata wang tempatan itu menokok berbanding pound British kepada 5.4965/5020 daripada 5.5588/5643 sebelum ini. - BERNAMA

Berita Harian X