Rabu, 25 Januari 2017 | 11:23pm

Kukuhkan perdagangan menerusi FTA - FMM

KUALA LUMPUR: Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) berharap kerajaan akan terus babitkan negara dalam Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dan menjalin perjanjian perdagangan bebas (FTA) di bawah pakatan itu.

FMM dalam satu kenyataan berkata, langkah itu adalah bagi mengukuhkan hubungan perdagangan melalui perjanjian perdagangan dua hala jika TPP gagal dilaksanakan.

Katanya, TPP dijangka membuka sehingga 10 peratus daripada perdagangan bebas cukai Malaysia dengan pasaran bukan FTA yang baharu seperti Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru.

"Kami juga berharap dapat menyaksikan pemuktamadan yang berjaya ke atas FTA penting yang lain, terutamanya Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang sedang dirundingkan.

"Kita tahu rundingan RCEP telah mencapai kemajuan yang ketara. Kami berharap RCEP ini akan dijayakan dengan pantas dan lancar menjelang hujung tahun ini," katanya.

FMM berkata, buat masa ini, Malaysia sudah menyimpulkan tujuh FTA dua hala iaitu dengan Jepun, Pakistan, New Zealand, India, Brazil, Australia dan Turki serta lima FTA serantau melalui ASEAN (ASEAN dengan China, Korea, Jepun, India dan Australia-New Zealand). - BERNAMA

Berita Harian X