Rabu, 25 Januari 2017 | 6:51pm

AS keluar TPPA, Jepun bimbang China luaskan pengaruh

PERDANA Menteri Jepun, Shinzo Abe. - Foto Reuters
PERDANA Menteri Jepun, Shinzo Abe. - Foto Reuters

TOKYO: Jepun bersikap dingin terhadap cadangan menjemput China untuk menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kerana bimbang ia akan meningkatkan pengaruh dan kuasa Beijing.

Pada masa yang sama, Jepun berazam memujuk Amerika Syarikat (AS) untuk menyertai semula TPPA demi kepentingan ekonomi global.

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe tanpa berselindung, berikrar sekali lagi untuk memujuk Donald Trump dengan alasan TPPA adalah demi kepentingan AS dan ekonomi global.

Presiden baharu AS itu menandatangani perintah eksekutif menarik diri daripada TPPA, Isnin lalu.

"Sistem perdagangan bebas berasaskan peraturan biasa yang bebas dan adil adalah sumber pertumbuhan ekonomi dunia.

"Saya fikir Presiden Trump juga memahami kepentingan perdagangan bebas dan adil. Saya tidak sabar mahu mendapatkan pemahamannya mengenai kepentingan strategik dan ekonomi TPPA," kata Abe kepada Parlimen Jepun.

Ditanya mengenai rundingan perjanjian perdagangan AS-Jepun, Abe berkata, beliau akan menahan diri daripada membuat spekulasi mengenai dasar perdagangan Trump sehingga barisan Kabinet beliau diluluskan dan dasar menjadi lebih jelas.

Australia dan New Zealand Selasa lalu berkata, mereka berharap untuk menyelamatkan TPPA dengan menggalakkan China dan negara Asia yang lain untuk menyertainya.

Chile telah menjemput menteri dari negara TPPA lain dan China serta Korea Selatan untuk satu sidang kemuncak pada Mac untuk membincangkan bagaimana untuk meneruskannya.

TPPA tidak boleh berkuat kuasa tanpa penyertaan AS kecuali peraturan berubah, maka urus niaga itu kini dalam pembekuan hebat.

Jepun berharap TPPA akan membantu menghentikan pergerakan sekutu keselamatan Washington di Asia dan mewujudkan rejim berasaskan peraturan yang akhirnya akan mengurangkan pengaruh China.

Abe juga menyifatkan pakatan 12 negara itu sebagai jentera pertumbuhan dan pembaharuan ekonomi domestik. - REUTERS

Berita Harian X