Selasa, 24 Januari 2017 | 9:26am
PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump. - Foto AP
PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump. - Foto AP

AS secara rasmi tarik diri daripada TPP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump secara rasmi menarik diri daripada Perkongsian Perdagangan Trans-Pasifik (TPP) hari ini, sekali gus menjauhkan AS daripada sekutunya di Asia, ketika peningkatan pengaruh China di rantau ini.

Mengotakan janji kempen pilihan raya untuk menamatkan pembabitan Amerika dalam pakatan 2015 itu, Trump menandatangani perintah eksekutif di Pejabat Oval bagi penarikan keluar AS daripada pakatan 12 negara TPP.

Trump yang berikrar untuk meningkatkan sektor pembuatan AS, berkata beliau akan membuat tawaran perjanjian perdagangan satu sama satu dengan negara yang akan membolehkan AS menamatkan perjanjian itu dalam tempoh 30 hari "jika sesuatu negara tidak berfungsi dengan betul".

"Kami akan menamatkan tawaran perdagangan yang tidak masuk akal, yang telah membawa keluar rakyat dan syarikat AS ke luar negara," kata Presiden Republikan itu dalam pertemuan dengan pemimpin kesatuan kerja di Rumah Putih.

TPP disokong oleh banyak perniagaan AS, telah dirundingkan oleh pentadbiran bekas Presiden Demokrat Barack Obama tetapi tidak pernah mendapat kelulusan Kongres.

Perjanjian itu telah menjadi tonggak ekonomi utama pentadbiran Obama ke rantau Asia Pasifik dalam usaha menghadapi saingan China.

Trump mencetuskan kebimbangan di Jepun dan tempat lain di rantau Asia Pasifik berikutan penentangannya terhadap TPP dan kempennya yang meminta sekutu AS supaya memberi lebih tumpuan terhadap keselamatan mereka.

Namun, pendirian perdagangan beliau mencerminkan perasaan yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat AS bahawa perjanjian perdagangan antarabangsa telah menjejaskan pasaran kerja negara itu.

Parti Republikan telah lama berpandangan bahawa perdagangan bebas adalah satu kemestian, tetapi kini berubah.

"Ia akan menjadi sangat sukar untuk menentang perjuangan itu," kata Lanhee Chen, felo Institut Hoover yang juga penasihat dasar domestik calon Presiden Republikan, Mitt Romney pada 2012.

Pengarah Pengajian Pertahanan di Pusat Pemikir Kepentingan Negara di Washington, Harry Kazianis berkata Trump kini perlu mencari alternatif untuk meyakinkan sekutu AS di Asia.

"Ini termasuk membentuk perjanjian perdagangan dua hala yang pelbagai. Jepun, Taiwan dan Vietnam perlu didekati terlebih dahulu kerana mereka adalah penting untuk mana-mana penggubalan undang-undang berhubung strategi baharu Asia untuk Presiden Trump," katanya.

Trump juga sedang merundingkan semula Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) untuk menyediakan syarat yang lebih baik untuk Amerika Syarikat. - Reuters

Berita Harian X