Khamis, 19 Januari 2017 | 9:03pm

Texas Chicken kembang operasi utara Malaysia

GEORGETOWN: Texas Chicken Malaysia, antara rantaian restoran makanan segera khusus dalam hidangan ayam goreng, berhasrat mengembangkan kehadirannya di wilayah utara Semenanjung Malaysia.

Pengerusi pemegang francais Texas Chicken, Envictus International Holdings Ltd, Datuk Jaya JB Tan, berkata berikutan pembukaan restoran pertamanya di Pulau Pinang di sini hari ini, Texas Chicken Malaysia berhasrat membuka satu lagi restoran di Kedah.

"Semuanya dalam peringkat perancangan, dan lokasi menjadi keutamaan kami. Dengan restoran baru itu di sini, kini kami mempunyai 34 restoran di seluruh negara.

"Ini adalah satu peristiwa penting bagi kami dan kami merancang untuk membuka lebih banyak restoran Texas Chicken tahun ini.

"Kami menerima permintaan yang luar biasa daripada peminat Facebook yang meminta kami membuka restoran di Pulau Pinang, dan kami memutuskan untuk menjalankan perniagaan kami di bahagian utara Semenanjung Malaysia selepas Lembah Klang," katanya pada sidang akhbar selepas pembukaan restoran itu di 1st Avenue Mall.

Tan berka, Texas Chicken melabur antara RM1 juta dan RM2 juta untuk membuka setiap restoran baharu bagi memastikan piawaian yang tinggi dicapai.

Sementara itu, Pengurus Besar Texas Chicken Asia Pasifik, Amarpal Sandhu, berkata syarikat itu mahu meluaskan perniagaannya ke satu atau dua negara setiap tahun dan sedang mengintai peluang perniagaan di Kemboja, Myanmar, India dan Filipina.

"Kami mempunyai rancangan pertumbuhan agresif bagi rantau ini. Kami mempunyai restoran di Indonesia, Vietnam, Thailand, New Zealand, Pakistan dan Laos.

"Kami menerima sokongan yang menggalakkan merentasi seluruh Asia kerana kami menyediakan hidangan ayam paling segar dan biskut baharu dibakar setiap hari di restoran kami," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X