Selasa, 17 Januari 2017 | 8:16pm

Saham KL ditutup tinggi

KUALA LUMPUR: Saham di Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini, disokong oleh kenaikan saham wajaran tinggi kewangan terpilih serta minat terhadap saham bermodal kecil, kata peniaga.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.19 mata dan berakhir pada 1,663.03 berbanding 1,658.84 semasa ditutup semalam.

Semasa pembukaan, indeks menokok 1.46 mata kepada 1,660.3, dan bergerak dalam jajaran 1,659.10 dan 1,664.9 sepanjang hari.

Peniaga berkata, saham kewangan pulih setelah turun semalam.

Mendahului senarai saham tinggi ialah Hong Leong Bank yang menokok 14 sen kepada RM13.24, Maybank menambah 12 sen kepada RM8.17, RHB Bank Bhd meningkat lapan sen kepada RM4.94, Public Bank naik empat sen kepada RM20.06 manakala CIMB untuk dua sen kepada RM4.74.

Antara saham wajaran tinggi, Sime Darby naik empat sen kepada RM8.49 dan Petronas Chemicals menokok satu sen kepada RM7.15.

TNB susut dua sen kepada RM13.90.

Bagi saham aktif, Matang yang mula disenaraikan di ACE Market menokok satu sen kepada 14 sen, Hibiscus Petroleum meningkat 3.5 sen kepada 48.5 sen, IFCA MSC menambah dua sen kepada 41.5 sen, SKH Consortium naik satu sen kepada lapan sen dan Sumatec menokok setengah sen kepada 7.5 sen.

Indeks FBM Emas naik 46.391 mata kepada 11,661.45, Indeks FBMT 100 meningkat 44.479 mata kepada 11,366.09 dan Indeks FBM Emas Syariah mengukuh 26.609 mata kepada 12,179.84.

FBM Ace menambah 21.13 mata kepada 5,035.87 manakala FBM 70 melonjak 112.859 mata kepada 13,363.26.

Mengikut sektor pula, Indeks Perusahaan susut 3.54 mata kepada 3,137.26, manakala Indeks Kewangan naik 127.609 mata kepada 14,678.76 dan Indeks Perladangan menokok 20.39 mata kepada 7,913.63.

Di pasaran, saham untung mengatasi saham rugi pada 411 berbanding 366, dengan 374 kaunter tidak berubah, 591 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 1.98 bilion saham bernilai RM1.67 bilion berbanding 1.78 bilion saham bernilai RM1.61 bilion semalam.

Di Pasaran Utama, jumlah dagangan susut kepada 1.14 bilion unit bernilai RM1.53 bilion daripada 1.3 bilion unit bernilai RM1.53 bilion yang dicatatkan semalam. Jumlah dagangan di Pasaran ACE bertambah kepada 726.08 juta saham bernilai RM127.58 juta daripada 335.59 juta saham bernilai RM58.34 juta. Waran susut kepada 117.51 juta unit bernilai RM18.04 juta daripada 136.25 juta unit bernilai RM21.29 juta.

Barangan pengguna menguasai 98.66 juta saham didagangkan di Pasaran Utama manakala barangan perusahaan (315.19 juta), pembinaan (64.79 juta), dagangan dan perkhidmatan (355.4 juta), teknologi (104.85 juta), infrastruktur (14.28 juta), SPAC (328,700), kewangan (80.47 juta), hotel (137,100), hartanah (64.61 juta), perladangan (16.90 juta), perlombongan (sifar), REIT (26.95 juta), dan tertutup/dana (1,900). - BERNAMA

Berita Harian X