Sabtu, 14 Januari 2017 | 12:11am

Syarikat kereta Eropah disiasat kemungkinan menipu

PARIS/MILAN: Pengeluar kereta Eropah diheret ke dalam siasatan lebih meluas berhubung kes penipuan pelepasan diesel.

Ia selepas pihak berkuasa Perancis menyiasat Renault manakala pihak berkuasa Britain pula mahu mendapatkan penjelasan daripada Fiat Chrysler Automobiles NV.

Pengakuan Volkswagen bahawa sebahagian daripada kenderaan diesel dipasang dengan alat yang menyembunyikan paras sebenar pelepasan bahan api, mencetuskan tindakan kawal selia global untuk membanteras pencemaran berlebihan serta meningkatkan lagi pemantauan ke atas pengeluar kereta.

Saham Renault jatuh lebih empat peratus ke paras terendahnya dalam sebulan selepas sumber di pejabat pihak berkuasa Paris berkata, ia sudah memulakan siasatan kehakiman terhadap kemungkinan berlaku penipuan ke atas pelepasan ekzos kereta keluaran syarikat Perancis itu.

Renault tidak dapat dihubungi untuk memberikan kenyataan.

Sahamnya sedikit pulih selepas itu, namun masih di bawah prestasi positif dicatatkan oleh indeks European STOXX Europe Autos.

Siasatan di Perancis itu menyusuli pertuduhan dikemukakan oleh Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) Amerika Syarikat (AS) bahawa Fiat Chrysler, seperti Volkswagen, menggunakan perisian haram untuk menyembunyikan lebihan pelepasan diesel.

Suruhanjaya Eropah berkata, ia sudah memaklumkan mengenai pertuduhan EPA yang "membimbangkan" itu serta akan memerhatikan implikasinya ke atas Kesatuan Eropah (EU).

Britain berkata, ia akan mendapatkan maklumat segera daripada EPA berhubung tuduhan bahawa Fiat Chrysler menggunakan perisian tersembunyi bagi membenarkan pelepasan diesel berlebihan tidak dapat dikesan.

Ketua Eksekutif Fiat Chrysler, Sergio Marchionne, dengan berang menafikan tuduhan berkenaan sambil berkata tiada sebarang salah laku dan syarikat itu tidak pernah cuba menipu peraturan pelepasan bahan api.

Bagaimanapun, pengeluar kereta terus berhadapan pemantauan di Eropah.

Awal minggu ini, Suruhanjaya Eropah mendesak Itali supaya bekerjasama dengan Jerman untuk menyiasat pertuduhan bahawa model Fiat 500X, Fiat Doblo dan Jeep Renegade dipasang dengan perisian yang memperdayakan itu.

Fiat menafikan tuduhan berkenaan. - REUTERS

Berita Harian X