Khamis, 15 Disember 2016 | 7:08pm

Kenaikan kadar faedah AS dalam jangkaan

KETUA Ekonomi MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Dr Kamarudin Mohd Nor. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
KETUA Ekonomi MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Dr Kamarudin Mohd Nor. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KUALA LUMPUR: Pengumuman Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas kepada 0.75 peratus adalah sesuatu yang sudah dijangkakan, justeru tidak berlaku sebarang tindak balas negatif yang ketara dalam pasaran kewangan dan juga ekuiti.

Pasaran juga menjangka Fed akan mengumumkan tiga lagi kenaikan pada 2017 sehingga mencapai kadar 1.50 peratus.

Walaupun rata-rata penganalisis global menjangkakan Malaysia menjadi negara paling teruk terjejas di Asia, prestasi mata wang tempatan sepanjang hari semalam membuktikan sebaliknya dengan kesan impak yang lebih sederhana.

Setakat petang ini, ringgit berada pada kedudukan ketujuh daripada 12 mata wang Asia dengan peratusan penurunan semasa ringgit hanya -0.45 peratus, berbanding kejatuhan terbesar diterajui Indonesia (-0.75 peratus), Korea Selatan (-0.73 peratus), Jepun (-0.52 peratus), India (-0.52 peratus), dan Filipina (-0.48 peratus). Sementara itu, penanda aras pasaran saham tempatan FBM KLCI susut 0.38 peratus.

Ketua Ahli Ekonomi MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Dr Kamarudin Mohd Nor, berkata MIDF menjangkakan ringgit kekal dalam dagangan tidak menentu dengan kecenderungan corak menurun menjejaki kitaran Fed mengetatkan dasar monetarinya.

Katanya, kenaikan kadar faedah AS itu akan mencetuskan perubahan aliran keluar pelaburan dan sentimen pelabur secara keseluruhannya.

"Perkembangan ini akan memberi tekanan meningkat kepada dolar AS dan secara tidak langsung akan memberi kesan kepada ringgit.

"Kenaikan kadar faedah akan turut memberi cabaran kepada pelabur bon yang secara teorinya ketika kadar naik, harga bon akan jatuh.

"Hasil bon bagi tempoh jangka pendek dijangka melonjak lagi susulan lanjutan usaha Fed meningkatkan kekerapan mengembalikan kadarnya ke paras normal," katanya kepada BH di Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC), Nor Zahidi Alias, berkata langkah terbaharu Fed itu akan memberikan kesan positif kepada dolar AS dan dijangka terus menekan mata wang serantau termasuk ringgit jika peningkatan kadar diteruskan susulan pemulihan ekonomi AS.

Katanya, dasar ekonomi Trump yang akan menggalakkan perbelanjaan bakal mencetuskan memangkin usaha yang lebih pantas mengembalikan dasar monetari AS kembali ke paras normal dan meraih manfaat pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat.

"Ini perkembangan positif untuk ekonomi global dan Malaysia sebagai ekonomi terbuka akan turut memperoleh manfaat daripada pemulihan kuasa ekonomi terbesar dunia itu.

"Walaupun, ketika ini kenaikan kadar faedah akan menjejaskan sentimen kepada mata wang serantau dan ringgit selain aliran keluar modal yang memberi cabaran besar kepada negara seperti Malaysia dan Indonesia, yang memiliki peratusan pegangan asing tinggi bagi bon kerajaan masing-masing," katanya.

INFO:

Tinjauan hasil bon 10-tahun pasca-kenaikan kadar faedah AS:

-Malaysia naik 12 mata asas

- Indonesia naik 8 mata asas

- Korea Selatan naik 10 mata asas

- Thailand naik 4 mata asas

Berita Harian X