Khamis, 8 Disember 2016 | 8:30am

TNB bida projek solar terbesar Malaysia

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir Azman Mohd.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir Azman Mohd.

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) merancang untuk memacu Malaysia menjadi pemain utama Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) di peringkat ASEAN, selaras dengan aspirasinya untuk memupuk sektor RE domestik.

Bagi mencapai matlamat itu, syarikat sedang menyusun pasukan untuk membida Projek Solar Skala Besar pertama Malaysia yang bakal diumumkan tidak lama lagi.

Menurut Laporan Tahunan TNB bagi tahun kewangan 2016, pihak syarikat telah berunding dengan agensi kerajaan dan korporat untuk melaksanakan projek itu dengan turut memanfaatkan pengalaman kukuh TNB dalam aspek pembangunan vendor tempatan bagi sektor RE.

Kepakaran TNB dalam segmen RE setakat ini dizahirkan menerusi beberapa projek perintis teknologi baharu RE seperti projek ladang solar terapung dan menukarkan sisa kepada tenaga hasil kerjasama dengan syarikat air dan rawat..

"Pengetahuan yang ditimba daripada projek perintis berkenaan bukan saja berguna untuk projek RE kami nanti, bahkan ia juga akan membantu menambah baik kecekapan dan keupayaan pemain RE tempatan," katanya.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Ir Azman Mohd, dalam laporan yang sama menjelaskan bagi menjayakan aspirasi negara sebagai pemain utama RE di rantau ini, syarikat akan meneruskan pelaburannya dalam tenaga solar, angin, biomas, biogas dan projek mini hidro.

"Kami percaya ilmu dan pengalaman yang diraih daripada pelbagai projek grid solar komuniti dan mini hidro kami selain 5,777 projek RE di Semenanjung, akan memberikan kami kelebihan terhadap peluang mendatang dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.

"Seiring jangkaan pertumbuhan mapan sektor RE, kami juga sudah memeterai kerjasama dengan gergasi perladangan termasuk Sime Darby Bhd dan FELDA bagi pembangunan loji perintis biomas dan biogas, masing-masing," katanya.

Sementara itu Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie, berkata syarikat terpanggil untuk mewujudkan masa depan yang mapan kepada semua pihak berkepentingan. Sehubungan itu, tahun ini, katanya, syarikat melancarkan Projek Komuniti Lestari dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Menerusi projek itu, TNB menyediakan solar panel di rumah kebajikan terpilih.

Selain menggalakkan penggunaan RE, projek itu juga membolehkan rumah kebajikan berkenaan meraih dana dengan menjual semula tenaga kepada TNB.

"Selain menggalakkan penggunaan RE, kami juga mempunyai dasar dalaman untuk memacu aspek penjanaan tenaga yang bersih dan lebih hijau," katanya.

Laporan itu turut menyebut TNB sudah pun layak membida projek loji PV (photovoltaic) solar 350MW Sweihan di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Walaupun ini percubaan pertama kami di luar negara dalam RE, kami yakin kami berdaya saing dan tawaran kami akan menjadi pilihan," katanya.

INFO: Projek Komuniti Lestari, TNB

  • Fasa pertama, 19 rumah kebajikan
  • Fasa kedua, 26 rumah kebajikan
Berita Harian X