Rabu, 7 Disember 2016 | 11:31am

Harga minyak kembali teruskan kejatuhan

SINGAPURA: Harga minyak jatuh hari ini dengan keraguan yang terus menyelubungi rancangan pengurangan pengeluaran minyak mentah oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan Russia adalah mencukupi untuk mengakhiri lambakan bekalan yang membelenggu pasaran sejak dua tahun lalu.

Niaga hadapan minyak mentah antarabangsa Brent diniagakan pada AS$53.69 satu tong pada 0131 GMT, turun 24 sen, atau 0.45 peratus berbanding penutup terakhirnya.

Niaga hadapan minyak mentah Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate (WTI) susut 19 sen, atau 0.37 peratus pada AS$50.74 satu tong.

Harga minyak meningkat sehingga 19 peratus selepas OPEC dan Russia minggu lalu mengumumkan mereka secara bersama akan mengurangkan pengeluaran tahun depan dalam satu cubaan untuk memperkukuhkan pasaran.

Bagaimanapun, keraguan mula timbul mengenai sama ada rancangan berkenaan adalah cukup besar untuk mengakhiri masalah lambakan bekalan kerana OPEC dan Russia sejak itu melaporkan rekod pengeluaran tertinggi.

"Dengan kedua-dua Russia dan OPEC menghasilkan rekod pengeluaran tertinggi, pasaran bingung mengenai bagaimana kedua-duanya akan dapat mematuhi sasaran pengurangan pengeluaran Vienna itu.

"Kebingungan itu wajar, memandangkan lebih banyak yang dikeluarkan oleh OPEC dan Russia, maka lebih tinggilah paras permulaan yang perlu dipotong," kata penganalisis pasaran kanan OANDA di Singapura, Jeffrey Halley. - REUTERS

Berita Harian X