Jumaat, 2 Disember 2016 | 4:03pm

Unjur kenaikan 20% pendapatan segmen penjagaan kesihatan

PENGARAH Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azmir Merican.
PENGARAH Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azmir Merican.

KUALA LUMPUR: UEM Edgenta Bhd, penyedia perkhidmatan pengurusan aset bersepadu, mengunjur peningkatan lebih 20 peratus kepada RM660 juta dalam segmen penjagaan kesihatannya tahun depan.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azmir Merican, berkata unjuran itu bakal menjadi realiti apabila cadangan pengambilalihan Asia Integrated Facility Solutions Pte Ltd (AIFS) yang berpangkalan di Singapura, diselesaikan tahun ini.

"Apabila janji niaga dimuktamadkan, kita akan menyaksikan segmen penjagaan kesihatan menyumbang secara ketara kepada syarikat.

"Selain pengangkutan, segmen penjagaan kesihatan penting kepada perniagaan teras syarikat... sehubungan itu transaksi itu penting bagi kami," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) UEM Edgenta di sini hari ini.

EGM itu menyaksikan pemegang sahamnya sebulat suara meluluskan cadangan pengambilalihan syarikat dari Singapura itu, yang mana ia dijangka dimuktamadkan pertengahan bulan ini.

Pengambilalihan itu bakal merubah UEM Edgenta menjadi peserta serantau dalam menyediakan perkhidmatan sokongan penjagaan kesihatan dan kemudahan kepada pelbagai hospital, klinik dan institusi kesihatan di Malaysia, Singapura dan Taiwan.

Pengambilalihan itu disifatkan sebagai peluang terbaik dari segi strategi dan kewangan kepada UEM Edgenta dalam usahanya mengembangkan perkhidmatan penjagaan kesihatan, selain dapat menzahirkan secara semerta dalam pasaran Singapura dan Taiwan.

UEM Edgenta, satu daripada empat bahagian perniagaan teras UEM Group Bhd, adalah antara penyedia perkhidmatan pengurusan aset utama di rantau ini, menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti perundingan aset, penjagaan kesihatan, infrastruktur, kemudahan, hartanah dan tenaga.

AIFS yang berpangkalan di Singapura adalah syarikat pegangan pelaburan UEMS Pte Ltd, penyedia pengurusan kemudahan dengan lebih 25 tahun pengalaman menyediakan perkhidmatan kepada lebih 90 hospital dan institusi penjagaan kesihatan di Singapura, Taiwan dan Malaysia.

Azmir berkata, bagi tempoh lima tahun akan datang strategi pertumbuhan UEMS akan merangkumi pengembangan ke negara Asia Tenggara lain seperti Indonesia dan Kemboja.

Di Malaysia, UEMS menawarkan khidmat kepada segmen penjagaan kesihatan dan hospital swasta, antaranya Prince Court Medical Centre, Pantai Hospital Kuala Lumpur, Gleneagles Pulau Pinang dan Hospital Assunta.

Berita Harian X