Rabu, 23 November 2016 | 7:37pm
RINGGIT meneruskan penurunannya untuk ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini. - Foto hiasan
RINGGIT meneruskan penurunannya untuk ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini. - Foto hiasan

Ringgit ditutup rendah, 4.4400 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan penurunannya untuk ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini apabila lebih ramai pelabur mengalihkan perhatian mereka kepada mata wang selamat, kata seorang peniaga.

Pada 6 petang, unit tempatan diniagakan pada 4.4400/4450 berbanding dolar AS daripada 4.4170/4250 pada Selasa.

Seorang peniaga berkata, kebanyakan mata wang Asia lemah berbanding dolar AS apabila data jualan semula rumah Amerika Syarikat yang lebih baik pada Oktober menyediakan sokongan tambahan kepada mata wang itu.

Para pelabur juga bimbang dengan penurunan harga minyak serta berasa ragu-ragu sama ada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum akan bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran minyak mentah semasa mesyuarat peringkat menteri minggu depan.

Unit tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Ringgit rendah berbanding dolar Singapura pada 3.1136/1175 daripada 3.1042/1103 pada Selasa tetapi mengukuh berbanding pound British kepada 5.4945/5011 daripada 5.5102/5220 sebelumnya.

Unit tempatan turun berbanding yen kepada 3.9993/4.0049 daripada 3.9875/9955 pada Selasa dan susut berbanding euro kepada 4.7117/7175 daripada 4.7023/7117 sebelumnya. - BERNAMA

Berita Harian X