Isnin, 21 November 2016 | 6:50pm

Xinyi Glass tambah pelaburan di Melaka

MELAKA: Pengeluar kaca solar terbesar dunia, Xinyi Glass Holdings bersetuju menambah pelaburan sebanyak RM800 juta dengan membeli tanah seluas 36.8 hektar di Lipat Kajang, Merlimau, bagi pembesaran kilang itu.

Persetujuan itu dicapai menerusi lawatan kerja Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron ke kilang terbesar milik syarikat itu di Dongguan, China, semalam.

Memorandum persefahaman (MoU) itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Xinyi Glass Holdings, Datuk Tung Ching Chai dan CEO Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Datuk Azmi Hussain, dengan disaksikan Mohd Khalil; Idris dan Presiden Xinyi Glass Holding Limited, Datuk Lee Xian Yi.

Perkara itu dimaklumkan dalam kenyataan media dari Pejabat Ketua Menteri yang dikeluarkan hari ini.

Sebelum ini, Xinyi Glass Holdings menerusi dua anak syarikatnya, Xinyi Energy Smart (M) Sdn Bhd dan Xinyi Solar (M) Sdn Bhd melabur RM895 juta bagi membina kilang kaca terbesar di rantau ini di Elkay Industrial Park, Lipat Kajang, Merlimau.

Kilang yang beroperasi sejak Ogos lalu itu turut menyediakan 300 peluang pekerjaan dan jumlahnya dijangka meningkat kepada 1,000 orang menjelang akhir tahun ini.

Sementara itu, Idris dalam kenyataan itu, berkata Mohd Khalil melahirkan rasa gembira apabila syarikat itu bersetuju menambah pelaburan di Melaka.

"Saya turut mempelawa Xinyi Glass bekerjasama dan melabur dalam bidang tenaga diperbaharui," katanya.

Dalam pada itu, Idris berkata, Melaka akan membina sebuah pusat pengajian tinggi swasta yang bakal mengembangkan lagi industri penerbangan dikenali University Aviation.

"Satu lawatan dari pihak Beihang University Beijing ke Melaka bulan depan dijangka memberi keputusan mengenainya (pembinaan universiti)," katanya.

Berita Harian X