Rabu, 16 November 2016 | 8:29pm

Ringgit luar pesisir bukan rujukan sah - BNM

KUALA LUMPUR: Pasaran ringgit luar pesisir, seperti kontrak hadapan tidak boleh diserah (NDF) yang menjadi punca utama berlaku kekeliruan nilai tukaran wang tempatan pada akhir minggu lalu, bukan rujukan sah dan tepat.

Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid, berkata BNM tidak mengiktiraf pasaran ringgit luar pesisir seperti NDF yang wujud secara bersendirian.

Susulan itu, beliau menegaskan, semua urus niaga berkaitan ringgit perlu dirujuk pada kadar tukaran domestik seperti kadar spot dan kontrak hadapan ringgit domestik.

"Kami mahu memberitahu pasaran supaya tidak mengendahkan sama sekali dengan apa yang berlaku di pasaran luar pesisir seperti NDF. Ia boleh melonjak terlalu tinggi (berbanding ringgit domestik) dan menjunam terlalu rendah.

"Ia terbukti seperti yang terjadi pada pagi Jumaat lalu apabila ringgit di pasaran berkenaan pada suatu ketika diniagakan serendah RM4.56 bagi satu dolar (sedangkan kadar tukaran spot ringgit di dalam negara ketika itu adalah sekitar RM4.34 sedolar)," katanya pada taklimat khas mengenai perkara berkenaan di ibu pejabat BNM di Kuala Lumpur, hari ini.

Adnan Zaylani menjelaskan, pasaran ringgit domestik dan luar pesisir adalah dua pasaran berasingan.

"Secara asasnya, kedua-dua produk itu sama sekali berbeza dan pasaran luar pesisir tidak ada kena-mengena dengan pasaran mata wang kita.

"Pasaran kita ditetapkan pada tukaran dolar-ringgit berasaskan urus niaga di dalam negara atau 'onshore'," tegasnya.

Ringgit tidak pernah diniagakan di luar Malaysia sejak 1998 apabila kerajaan pada masa itu melaksanakan tambatan mata wang.

Bagaimanapun, NDF adalah pasaran urus niaga mata wang tidak rasmi yang menjejaki pergerakan ringgit berbanding dolar AS. Ia beroperasi 24 jam.

Pada Jumaat lalu, ringgit ditutup pada RM4.3418 berbanding dolar AS, paras terendah dalam tempoh 14 bulan.

Sementara itu, pada hari sama, agensi berita Reuters, melaporkan NDF sebulan ringgit susut 3.7 peratus di pasaran luar pesisir untuk ditutup pada RM4.5395 berbanding dolar AS, terendah sejak September 2004.

Kekeliruan dalam kalangan pengguna dan peniaga susulan perkembangan itu menyebabkan BNM pada Ahad lalu, mengeluarkan satu kenyataan bahawa ringgit kekal sebagai mata wang bukan antarabangsa dan menegaskan bahawa dagangan ringgit seperti NDF adalah tidak diiktiraf.

BNM juga tidak bercadang memperkenalkan langkah baharu dan tidak ada perubahan dalam peraturan Pentadbiran Pertukaran Asing (FEA) berikutan situasi turun naik ketara pasaran tukaran asing khususnya pada akhir minggu lalu.

Mengulas lanjut, Adnan Zaylani berkata, BNM mahu peserta pasaran supaya menetapkan harga permulaan ringgit pada hari dagangan berdasarkan harga penutup hari sebelumnya.

"(Harga penutup hari sebelum) adalah di mana kita perlu memulakan harga dagangan awal kerana setiap hari akan terdapat perubahan. Apabila pasaran mula dibuka, akan terdapat sebahagian rujukan daripada (peristiwa) semalaman, ia biasa berlaku.

"Dalam hal ini (kejatuhan mendadak ringgit), apabila melihat nilai ringgit berada di luar kawalan dan pasaran luar pesisir juga menjadi luar kawalan, BNM meminta supaya bank menetapkan ringgit mengikut harga pada hari sebelumnya.

"Pada masa sama, sudah pasti BNM juga perlu menyediakan kecairan di dalam pasaran dan ini dilakukan sejak Khamis lalu," katanya.

Beliau berkata, nilai ringgit juga perlu diselaraskan mengikut asas atau fundamental sebenar mata wang itu berbanding dipengaruhi oleh aktiviti bersifat spekulatif yang berlaku di dalam pasaran NDF.

"Kami menyedari ada pasaran di luar sana (NDF) yang tidak telus dan di luar bidang kuasa BNM, serta memberikan impak untuk mewujudkan ketidakstabilan terhadap pasaran mata wang di dalam negara atau pasaran 'onshore'.

"Mandat bagi BNM adalah untuk mengekalkan pasaran mata wang yang teratur dan memastikan bahawa pasaran kewangan berfungsi dengan baik. Justeru, kami memberi jaminan untuk tidak berkompromi dengan pasaran sedemikian," katanya.

Berita Harian X