Jumaat, 11 November 2016 | 7:46pm

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup sangat rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan kejatuhan harga minyak serta jangkaan Rizab Persekutuan AS akan menaikkan kadar faedah pada Disember.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan itu diniagakan 4.2800/2900 berbanding dolar AS daripada 4.2700/2790 pada Khamis.

Penyusutan ringgit itu juga seiring dengan mata wang sedang muncul lain di Asia.

Naib Presiden Penyelidikan Pasaran FXTM, Jameel Ahmad, berkata kejatuhan mata wang Asia dikaitkan dengan kemungkinan impak dagangan di benua ini jika Presiden AS yang baru dipilih, Donald Trump, melaksanakan dasar perlindungan perdagangan.

"Jangkaan Rizab Persekutuan akan menaikkan kadar faedah pada Disember membantu mengukuhkan dolar dan memberi tekanan ke atas mata wang pasaran sedang muncul," katanya.

Ringgit juga turun pada paras paling rendah dalam 12 tahun di pasaran luar pesisir kerana pelabur asing menjual bon kerajaan.

Mengikut data, kontrak hadapan satu bulan mata wang tempatan itu jatuh 3.7 peratus daripada ketika ditutup sebelum ini kepada 4.5395 setiap dolar US, paras terendah sejak September 2004.

Unit tempatan itu diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain. Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0372/0458 daripada 3.0409/0495 pada Khamis.

Ia merosot berbanding pound Britain kepada 5.4168/4299 daripada 5.2905/2030 semalam.

Ringgit juga naik berbanding yen kepada 4.0199/0308 daripada 4.0207/0307. Ia susut berbanding euro kepada 4.6519/6632 daripada 4.6505/6624 semalam.

- BERNAMA

Berita Harian X