Rabu, 9 November 2016 | 1:45pm
BURSA Malaysia mengalami kerugian menyeluruh pada tengah hari, selari prestasi bursa serantau. - Foto hiasan
BURSA Malaysia mengalami kerugian menyeluruh pada tengah hari, selari prestasi bursa serantau. - Foto hiasan

Bursa Malaysia alami kerugian menyeluruh

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengalami kerugian menyeluruh pada tengah hari, selari prestasi bursa serantau, diheret turun oleh minat pelabur yang lemah menjelang keputusan pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS), kata peniaga.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatatkan 1,648.34, susut 15.48 mata berbanding 1,693.82 pada penutupan Selasa, bergerak antara 1,640.85 dan 1,665.36 di sepanjang dagangan pagi.

Indeks dibuka 0.30 mata lebih tinggi kepada 1,664.12.

Seorang peniaga berkata penurunan dalam indeks komposit disebabkan jualan saham wajaran tinggi utama, diketuai Maybank, yang susut 11 sen kepada RM7.84 dengan 2.03 juta saham didagangkan.

Kedudukan pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 835 berbanding 84 manakala 200 kaunter tidak berubah, 553 tidak diniagakan dan 24 lagi digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.33 bilion saham bernilai RM959.97 juta.

Indeks FBM Emas susut 125.66 mata kepada 11,573.08, Indeks FBMT100 turun 116.64 mata kepada 11,292.45 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 130.45 mata kepada 12,152.09.

FBM 70 turun 176.69 mata kepada 13,371.39 dan FBM Ace susut 85.13 mata kepada 4,872.82.

Mengikut sektor, Indeks Perusahaan susut 25.72 mata kepada 3,130.27, Indeks Kewangan turun 125.55 mata kepada 14,329.35 manakala Indeks Perladangan susut 34.54 mata kepada 7,773.92.

Kenanga Research dalam notanya hari ini menjangkakan FBM KLCI dijangka meningkat (walaupun kecil) sementara menunggu keputusan pemilihan di US.

"Kejayaan calon Demokrat, Hillary Clinton, dijangka mendorong peningkatan bursa tempatan, dengan FBM KLCI mampu meningkat ke paras 1,672 dan kemungkinan seterusnya pada 1,700.

"Sebaliknya, tekanan menurun indeks penanda aras mungkin muncul semula andai kemenangan berpihak kepada Donald Trump, dengan sokongan utama pada 1,648 dan 1,640," katanya.

Bagi kaunter wajaran tinggi, Tenaga Nasional susut enam sen kepada RM14.26, Public Bank dan Petronas Chemicals masing-masing turun empat sen kepada RM19.76 dan RM6.91 manakala Maxis rugi 10 sen kepada RM5.82.

Antara saham aktif, RGB International susut 1.5 sen kepada 23 sen, AirAsia X turun 1.5 sen kepada 42 sen dan Nexgram tidak berubah pada empat sen. - BERNAMA

Berita Harian X