Sabtu, 5 November 2016 | 7:00am

Penalti ke atas lapangan terbang tidak cekap

PSC di Malaysia antara yang terendah di dunia. - Sumber MAVCOM
PSC di Malaysia antara yang terendah di dunia. - Sumber MAVCOM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) akan memperkenalkan langkah baharu pada separuh kedua 2017 bagi memastikan pengendali lapangan terbang komited dan bertanggungjawab dalam meningkatkan tahap perkhidmatan dan kecekapan kewangan.

Ia bagi manfaat semua pihak, selaras dengan Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) yang dipungut mereka.

Ketua Pegawai Operasinya, Azmir Zain, berkata selaras matlamat itu MAVCOM kini sedang membentuk satu rangka kerja yang menghubungkan pendapatan penerbangan kepada tahap kepuasan pihak berkepentingan lain, ini termasuk kedua-dua pengguna dan syarikat penerbangan.

Beliau menjelaskan, langkah baharu itu akan memberikan insentif kepada pengendali lapangan terbang bagi memastikan tahap perkhidmatan dapat dipertingkatkan selaras dengan PSC yang dipungut, dan sebaliknya sekiranya tahap perkhidmatan disediakan tidak memuaskan, penalti akan dikenakan.

"Antaranya penalti yang boleh dikenakan ialah dalam bentuk rebat yang perlu di bayar kepada penumpang. Penalti juga boleh dikenakan dengan mengurangkan kadar PSC bagi lapangan terbang terbabit," katanya sambil menambah MAVCOM masih menilai dan mengkaji semua aspek dan ia belum dimuktamadkan lagi.

Beliau berkata demikian dalam satu temu bual ekslusif dengan BH, The Edge dan Sin Chew di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Azmir berkata, setiap tahun setiap lapangan terbang akan dinilai berdasarkan kepada parameter tertentu, dan pihaknya akan mendapatkan maklum balas pada asas tahunan daripada pihak berkepentingan lain.

Beliau berkata, rangka kerja baharu itu bertujuan membawa Malaysia lebih hampir ke arah penerapan amalan antarabangsa yang baik bagi peraturan caj lapangan terbang, pada masa sama memastikan PSC Malaysia kekal antara yang paling rendah di rantau ini.

Sejak ditubuhkan pada Mac 2016, MAVCOM mula membut persiapan bagi mengubah industri penerbangan awam Malaysia.

Suruhanjaya itu juga sudah memperkenalkan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) dan sudah melaksanakan proses permohonan pelesenan komersial yang lebih ketat bagi syarikat penerbangan di negara ini.

Pada 31 Oktober lalu, MAVCOM mengumumkan PSC yang baharu dan jauh lebih rendah untuk penerbangan ASEAN bermula 1 Januari 2017, iaitu daripada RM65 kepada RM35.

Malaysia adalah negara pertama di ASEAN yang memperkenalkan kategori PSC ASEAN dan pengenalan ini dijangka akan meningkatkan pergerakan trafik keluar dan masuk dari negara-negara serantau.

Sementara itu, PSC bagi laluan antarabangsa jarak jauh di KLIA2 yang akan ditingkatkan kepada RM50 daripada RM32 mulai 1 Januari 2017. Ia berkemungkinan dinaikkan lagi kepada RM73 pada 2018 untuk diselaraskan dengan PSC yang dikenakan di KLIA.

Dalam perkembangan sama, Azmir berkata, MAVCOM juga menimbang kemungkinan untuk mengurangkan PSC di lapangan terbang selain KLIA dan KLIA2, yang lebih kecil dan lebih 'inferior' dari segi keselesaan yang ditawarkan pada masa depan.

MAVCOM mengklasifikasikan lapangan terbang di Malaysia kepada tiga: KLIA selaku lapangan terbang utama; KLIA2; dan lain-lain lapangan terbang. Tiada lapangan terbang berstatus Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT)di negara ini. STOLport di Sabah dan Sarawak dikecualikan daripada caj PSC.

MAVCOM selaku entiti bebas dipertanggungjawabkan untuk mengawal selia ehwal ekonomi dan komersial industri penerbangan awam negara, berhadapan tugasan sukar dalam menyeragam satu rangka kerja yang dapat memuaskan semua pihak yang berkepentingan.

Bagi pengendali lapangan terbang, sudah tentunya mereka mahu pendapatan meningkat. Bagi pengguna, mereka mahukan harga berpatutan selaras kualiti dan manfaat ditawarkan.

"Malaysia Airlines dan mereka yang beroperasi di KLIA pula berkata tiada kesamarataan dan mahukan kesamarataan, manakala AirAsia juga memiliki kepentingannya yang berbeza.

"Senario caj lapangan terbang di Malaysia dan di mana-mana pun, saya kira, adalah sukar untuk memuaskan semua pihak berkepentingan. Saya bimbang ia adalah realiti," kata Azmir.

Berita Harian X