Khamis, 20 Oktober 2016 | 3:52pm

Untung bersih 9 bulan Public Bank naik 4.3 peratus

KUALA LUMPUR: Public Bank Bhd terus mencatatkan prestasi kewangan kukuh dengan untung bersihnya meningkat 4.3 peratus kepada RM3.72 bilion dalam sembilan bulan pertama tahun ini.

Keuntungan sebelum cukai meningkat 2.8 peratus kepada RM4.76 bilion dalam tempoh yang sama.

Pengasas dan Pengerusi Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow, berkata kumpulan perbankan itu berjaya membuktikan keupayaannya untuk memperoleh keuntungan yang stabil meskipun berdepan persekitaran operasi yang mencabar.

Kejayaan itu berikutan strategi padu kumpulan dalam memperkukuhkan bidang perniagaan perbankan runcitnya, katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Dalam sembilan bulan pertama 2016, jumlah pendapatan operasi Kumpulan Public Bank meningkat sebanyak 5.4 peratus terutama disebabkan oleh pertumbuhan pinjaman dan depositnya yang terus berkembang pada kadar tahunan, dengan masing-masing sebanyak 7.2 peratus dan 7.4 peratus.

Berlatarbelakangkan persekitaran operasi yang mencabar, kumpulan perbankan itu juga menunjukkan keteguhan melalui nisbah kos kepada pendapatannya yang cekap sebanyak 32.5 peratus, dan nisbah pinjaman pengurangan kasar yang rendah sebanyak 0.5 peratus.

Bagi sembilan bulan pertama 2016, jumlah pinjaman Kumpulan Public Bank berkembang pada kadar tahunan sebanyak 7.2 peratus kepada RM288 bilion.

Di dalam negeri, kumpulan perbankan itu terus mencatatkan prestasi pinjaman melebihi industri, dengan pertumbuhan pinjaman dalam negeri berada pada kadar tahunan sebanyak 7.8 peratus berbanding pertumbuhan dalam industri perbankan dalam negeri sebanyak 2.8 peratus.

Aktiviti pemberian pinjaman kumpulan terus dipacu oleh perlanjutan kredit, terutama bagi pembelian hartanah kediaman dan kenderaan penumpang, selain perusahaan kecil dan sederhana.

Mengenai jumlah deposit, Kumpulan Public Bank mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 7.4 peratus bagi sembilan bulan pertama 2016.

Sebagai kumpulan perbankan paling cekap dari segi kos di Malaysia, Kumpulan Public Bank terus mengekalkan nisbah kos kepada pendapatan yang rendah sebanyak 32.5 peratus pada tempoh berkenaan, jauh lebih baik daripada nisbah kos kepada pendapatan industri perbankan sebanyak 48.8 peratus.

Berita Harian X