Isnin, 17 Oktober 2016 | 3:15pm

Nano Valley sasar pelaburan asing RM500j

PUCHONG: Nano Valley, daerah pembangunan teknologi nano berpusat pertama Asia Tenggara di Tanjung Malim dijangka menarik pelaburan asing bernilai RM500 juta dan mewujudkan 10,000 pekerjaan baharu di Malaysia menjelang 2020.

Projek yang menelan kos sehingga RM300 juta itu adalah usaha sama antara Nanopac Group of Companies, NanoMalaysia Bhd yang juga syarikat di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta firma minyak dan gas Asia Barat, ACC Wildcat Energy Services.

ACC Wildcat Energy adalah pemegang kepentingan majoriti projek yang membabitkan tiga fasa selama lima tahun itu.

Pengerusi Eksekutif Nanopac Group of Companies, Datuk Dr Cheng Kok Leong, berkata tumpuan utama Nano Valley adalah untuk menarik pelaburan berdaya maju dalam bidang teknologi nano.

Katanya, pembangunan Nano Valley yang mengambil inspirasi daripada Silicon Valley di Amerika Syarikat akan memberikan manfaat besar kepada negara ini dari segi kemajuan teknologi, menggalakkan penggunaan teknologi boleh diperbaharui dan mewujudkan kekayaan.

"Nano Valley juga berhasrat menarik pelaburan dalam bidang berkaitan termasuklah pembangunan industri automotif dan pembuatan 'graphine'," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran projek Nano Valley di sini, sebentar tadi.

Pelancaran disempurnakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia, Dr Rezal Khairi Ahmad dan Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan ACC Wildcat Energy Services, Dr Abed Fattah Muriby.

Pada majlis itu, ketiga-tiga syarikat turut memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi projek pembangunan Nano Valley.

Berita Harian X