Jumaat, 14 Oktober 2016 | 3:46pm
GAMBAR fail, Ketua Pegawai Pemasarannya, Zalman Aefendy Abidin.
GAMBAR fail, Ketua Pegawai Pemasarannya, Zalman Aefendy Abidin.

Celcom yakin iPhone 7, iPhone 7 Plus lebih laris

KUALA LUMPUR: Celcom Axiata Bhd yakin jualan telefon pintar iPhone 7 and iPhone 7 Plus yang mula dijual kepada orang ramai pagi ini akan mengatasi prestasi jualan model-model iPhone terdahulu.

Ketua Pegawai Pemasarannya, Zalman Aefendy Abidin, berkata keyakinan itu disandarkan kepada ciri-ciri termaju yang terdapat pada peranti itu, selain pakej menarik yang disertakan bagi setiap pembelian.

Beliau berkata, iPhone 7 adalah telefon pintar terbaik keluaran Apple setakat ini yang mana ia adalah peranti yang dinaik taraf terbaik mungkin berbanding model-model sebelum ini.

"Celcom menerima tempahan 1,000 unit sebelum pelancaran jualan dibuat hari ini," katanya pada taklimat media selepas pelancaran jualan peranti itu di sini hari ini.

Zalman berkata, bersempena pelancaran peranti itu, Celcom memperkenalkan dua pelan khusus untuk iPhone 7 dan iPhone 7 Plus.

Pelan pertama ialah FIRST iPhone 7 yang ditawarkan serendah RM98 sebulan yang mana pelanggan diberikan 12GB internet (7GB internet bulanan dan 5B internet hujung minggu); panggilan tanpa had ke semua rangkaian; Celcom WiFiPlus tanpa had percuma; WhatsApp dan WeChat tanpa had percuma; dan melayari Yonder Music tanpa had percuma.

IPhone 7 yang dibeli bersama-sama FIRST iPhone 7 Plan ditawarkan pada harga bermula RM2,058, manakala bagi iPhone 7 Plus bermula pada harga RM2,558.

Pelan kedua ialah FIRST Platinum yang ditawarkan pada harga RM150 sebulan yang mana pelanggan ditawarkan 18GB internet (9GB bulanan dan 9GB hujung minggu); panggilan dan SMS tanpa had ke semua rangkaian; Celcom WiFiPlus tanpa had percuma; WhatsApp dan WeChat tanpa had percuma; dan melayari Yonder Music tanpa had percuma.

IPhone 7 32G yang dibeli bersama-sama pelan FIRST Platinum ditawarkan pada harga bermula RM1,688, manakala bagi iPhone 7 Plus bermula RM2,188.

Kedua-dua pelan itu memerlukan komitmen pelanggan selama 24 bulan.

Sejak Rabu lalu pelanggan sudah mula beratur di hadapan Blue Cube @ Sunway Pyramid untuk mendapatkan peranti terbaharu keluaran Apple itu, sungguhpun jualan hanya dibuka pagi ini dengan harapan menjadi antara tujuh pembeli terawal.

Celcom menawarkan harga RM7 seunit kepada tujuh pembeli terawal.

Berita Harian X