Rabu, 5 Oktober 2016 | 10:18am
BURSA Malaysia. - Foto BERNAMA
BURSA Malaysia. - Foto BERNAMA

Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi tetapi bertukar arah tidak lama kemudian selepas diseret turut prestasi kaunter utama termasuk Maybank dan Petronas Chemicals, kata pedagang.

Pada 9.10 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.57 mata kepada 1,660.68 berbanding penutup Selasa pada 1,661.25, selepas dibuka 2.18 mata lebih tinggi pada 1,663.43 pagi ini.

Kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 97 berbanding 95 manakala 167 kaunter tidak berubah, 1,299 tidak didagangkan dan 25 yang lain digantung.

Sebanyak 105.79 juta saham bertukar tangan bernilai RM37.02 juta.

AllianceDBS Research dalam satu nota berkata, kedua-dua pembeli dan penjual menunjukkan permainan konservatif semalam, dengan jangkaan pasaran akan bergerak antara 1,652 dan 1,672 dalam beberapa hari akan datang.

"Analisis tindakan pasaran semalam mendedahkan kuasa membeli lebih kukuh daripada tekanan jualan.

"Sehubungan itu, FBM KLCI dijangka didagang di atas paras 1,666.02 hari ini," katanya.

Dalam kalangan kaunter utama, TNB mendatar pada RM14.34, Public Bank menambah dua sen kepada RM19.90, Maybank susut tiga sen kepada RM7.55 dan Petronas Chemicals jatuh enam sen kepada RM6.64.

Dalam kalangan kaunter aktif, Perisai Petroleum Teknologi menokok setengah sen kepada 9.5 sen manakala Lion Corporation dan AirAsia X jatuh setengah sen setiap satu masing-masing kepada setengah sen dan 39.5 sen.

Kaunter untung, Nestle naik 98 sen kepada RM79.98, Petronas Dagangan menokok 22 sen kepada RM23.98 dan Petronas Gas menambah 12 sen kepada RM21.96.

- BERNAMA

Berita Harian X