Sabtu, 1 Oktober 2016 | 11:20am

Ringgit dijangka mengalami tekanan minggu depan

KUALA LUMPUR: Jangkaan ketidaktentuan harga minyak mentah yang berterusan berkemungkinan memberi tekanan kepada ringgit minggu depan, kata peniaga mata wang.

Katanya, keraguan pasaran terhadap perjanjian pengurangan pengeluaran Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan penghindaran risiko global dijangka terus meletakkan ringgit dan kebanyakan mata wang negara Asia pesat membangun dalam keadaan sukar.

"Keraguan terhadap perjanjian OPEC itu mungkin akan melanjutkan lagi jangka masa perubahan harga minyak daripada tempoh mesyuarat badan itu pada November.

"Ringgit yang dianggap mata wang komoditi, mungkin menjejaki ketidaktentuan itu, memandangkan ramai pelabur meragui perjanjian OPEC berkenaan akan memberi banyak kesan kepada lebihan bekalan dalam pasaran minyak mentah," katanya.

Anggota OPEC, kecuali Iran, Libya dan Nigeria, membuat perjanjian semasa mesyuarat di Algeria untuk mengurangkan pengeluaran kepada antara 32.5 juta dan 33 juta tong sehari (bpd) daripada 33.4 juta bpd ketika ini.

Perincian mengenainya, termasuk kuota bagi setiap anggota OPEC dan data pelaksanaan, akan dimuktamadkan semasa mesyuarat dasar pertubuhan itu di Vienna, Austria pada November ini.

"Selain faktor minyak, ringgit dan mata wang negara Asia pesat membangun lain mungkin terus tertekan susulan penghindaran risiko global disebabkan kebimbangan mengenai masalah Deutsche Bank yang menjejaskan sentimen risiko, selain ketidaktentuan membelenggu dasar monetari global serta pilihan raya presiden Amerika Syarikat," katanya.

Berdasarkan Jumaat ke Jumaat, nota tempatan itu susut berbanding dolar Amerika Syarikat kepada 4.1320/1390 daripada 4.1100/1170 minggu lepas.

Ringgit juga ditutup kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang lain.

Ia turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0269/0325 daripada 3.0256/0319 Jumaat minggu lepas, lemah berbanding yen kepada 4.0862/0944 daripada 4.0721/0795 sebelum ini.

Mata wang tempatan itu juga rendah berbanding euro kepada 4.6159/6253 daripada 4.6085/6168 minggu lepas serta turun berbanding pound kepada 5.3596/3704 berbanding 5.3475/3587 Jumaat lepas. - BERNAMA

Berita Harian X