Jumaat, 30 September 2016 | 8:41pm

Jualan Tornado Perfect Livin' 16 sasar RM80j

PUCHONG: Perfect Livin' 16, pameran kelengkapan kediaman dan gaya hidup, dijangka mencatat jualan lebih RM80 juta bagi penganjuran pada bulan ini, meskipun berdepan suasana ekonomi mencabar dan persaingan sengit daripada penganjur pameran seumpamanya.

Pengarah Urusan i.Star Ideas Factory Sdn Bhd, Datuk Adriana Law, berkata pihaknya optimis sasaran itu mampu dicapai bersandarkan tawaran diskaun sehingga 80 peratus bagi kelengkapan kediaman dan jumlah jualan yang memberangsangkan dicatatkan pada pameran terdahulu.

PENGARAH Urusan i.Star Ideas Factory Sdn Bhd, Datuk Adriana Law ketika sidang media mengenai Jualan Tornado Perfect Livin' 16. - Foto Nurul Shafina Jemenon
PENGARAH Urusan i.Star Ideas Factory Sdn Bhd, Datuk Adriana Law ketika sidang media mengenai Jualan Tornado Perfect Livin' 16. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Katanya, orang ramai kini sudah bijak memilih pameran yang memberi lebih nilai kepada mereka, kerana 'Perfect Livin' adalah satu-satunya pameran yang memberi ganjaran wang tunai dan kenderaan bagi menghargai kehadiran pengunjung yang berbelanja sepanjang pameran.

"Pada Sabtu (8 Oktober) dan Ahad (9 Oktober), kita akan adakan cabutan bertuah untuk memilih pemenang utama yang akan membawa pulang D-Max Double Cab V-Cross Safari 3.0 Liter dan D-Max Double Cab 2.5 Liter AT, masing-masing bernilai RM118,000 dan RM110,000 sebagai hadiah utama," katanya pada sidang media mengenai Jualan Tornado Perfect Livin' 16, di sini, hari ini.

Beliau berkata, setiap pengunjung perlu memuat naik gambar paling kreatif bersama kenderaan Isuzu mu-X di Pameran Perfect Livin' 16, yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 6 hingga 9 Oktober ini dan berbelanja sekurang-kurangnya RM500 untuk menyertai acara itu.

"Lebih menarik, Perfect Livin' 16 turut memperuntukkan RM100,000 wang tunai untuk dihadiahkan kepada pengunjung bertuah yang berbelanja sekurang-kurangnya RM1,000," katanya.

Adriana berkata, pameran kali ini disertai lebih 1,000 jenama tempatan dan luar negara, termasuk dari Eropah, Amerika Syarikat dan Sepanyol.

"Kami menyasarkan seramai 100,000 pengunjung hadir pada pameran itu," katanya.

Penganjuran pameran empat hari itu membabitkan 1,200 gerai pameran, yang merangkumi keseluruhan ruang kira-kira 20,000 meter persegi.

Antara acara menarik menanti pengunjung adalah perkongsian tips kediaman daripada pakar rekaan hiasan dalaman dan feng shui di dalam kediaman.

Berita Harian X