Rabu, 28 September 2016 | 8:41pm

Rakan kongsi asing PROTON dimuktamadkan pertengahan 2017

SHAH ALAM: DRB-Hicom Bhd menyasar dapat memuktamadkan pencarian rakan kongsi asing untuk Proton Holdings Bhd (PROTON) menjelang pertengahan tahun depan.

Pengarah Urusan DRB-Hicom Bhd, Datuk Seri Syed Faisal Albar, berkata pihaknya menerima kertas cadangan daripada beberapa syarikat pengeluar automotif terkemuka dunia termasuk dari Eropah dan Jepun.

Namun, katanya, buat masa ini kumpulan sedang meneliti cadangan daripada lima syarikat, bersandarkan kepada tiga pertimbangan utama iaitu dari segi strategik, operasi dan amalan kerja pembida terbabit.

"Kita tidak kisah rakan asing mana, sama ada Eropah, Jepun atau China, asalkan mereka dapat membantu memulihkan operasi PROTON khasnya dan memajukan industri automotif negara amnya," katanya pada sidang media selepas pelancaran Proton Saga baharu di Shah Alam, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan agensi berita asing yang menyatakan PROTON sudah menyenarai pendek pengeluar kereta global, termasuk unit Skoda Volkswagen AG dan Suzuki Motor Corp, bagi menjual kepentingan ekuitinya dan menjana sumber kewangan untuk pemulihan pengeluar kereta nasional itu.

Menurut laporan itu, PROTON juga menerima cadangan daripada Renault SA dan syarikat induk Peugeot, PSA Group, dengan kemungkinan menjual sehingga 51 peratus kepentingan ekuitinya yang dipegang oleh DRB-Hicom.

Langkah pencarian rakan asing oleh PROTON adalah antara syarat yang ditetapkan oleh kerajaan susulan pemberian pinjaman mudah berjumlah RM1.5 bilion pada awal tahun ini.

Ditanya jumlah kepentingan PROTON yang sedia ditawarkan kepada rakan kongsi strategik asing yang berminat, Syed Fiesal yang juga Pengerusi PROTON berkata, apa juga persetujuan yang dicapai, DRB-Hicom akan terus memegang ekuiti 'besar' dalam pengeluar kereta nasional itu.

Beliau juga enggan mendedahkan nama lima pengeluar automotif global yang mana cadangan mereka sedang diteliti oleh kumpulan DRB-Hicom.

"Kita sekarang masih di peringkat untuk meneliti cadangan mereka. Kita akan pergi berjumpa mereka dan untuk memahami cadangan mereka.

"Jumlah ekuiti yang akan ditawarkan bergantung kepada apa yang mereka boleh tawarkan kepada Kami," katanya sambil menegaskan DRB-Hicom tidak akan menjual ke tahap 70 hingga 80 peratus ekuiti PROTON.

Berita Harian X