Jumaat, 23 September 2016 | 1:01pm

PSA beri maklum balas cadangan kerjasama Proton

KUALA LUMPUR/PARIS: Firma Perancis, PSA yang juga pengeluar kereta Peugeot dan Citroen 'memberi maklum balas' terhadap cadangan membentuk kerjasama dengan PROTON, kata individu yang rapat dengan perkembangan itu.

DRB-Hicom Bhd yang memiliki PROTON sedang meninjau peluang untuk menjual kepentingan dalam syarikat kereta nasional itu.

"Peugeot mengesahkan ia memberikan maklum balas kepada permintaan bagi cadangan yang dikemukakan oleh Proton dan pemegang sahamnya, DRB-Hicom," kata seorang jurucakap PSA di Paris.

Jurucakap itu bagaimanapun enggan mengulas apakah maklum balas yang diberikan oleh PSA, atau bentuk cadangan yang dikemukakan oleh Proton.

Seorang individu yang rapat dengan perkembangan itu berkata, Proton menghantar cadangan bagi pemilikan asing kepada hampir 20 pengeluar kereta awal tahun ini.

Beberapa individu di Kuala Lumpur berkata, DRB-Hicom tidak menolak kemungkinan untuk menjual kepentingan majoriti dalam Proton dan mungkin juga mempertimbangkan untuk menjual jenama kereta sport dan lumba Britain, Lotus, yang turut dimiliki oleh Proton.

Individu yang rapat dengan perkembangan itu enggan dikenali kerana rundingan berkenaan adalah sulit.

Mereka berkata, firma Jepun iaitu Suzuki Motor Corp dan pengeluar kereta Perancis, Renault SA juga memberikan maklum balas kepada permintaan cadangan Proton itu.

Pegawai Suzuki dan Renault enggan mengulas.

Proton dan DRB-Hicom tidak dapat memberikan kenyataan segera. - Reuters

Berita Harian X