Sabtu, 17 September 2016 | 1:27pm

DMDIFH sedia pinjaman perumahan

Tan Sri Mohd Ali Rustam.
Tan Sri Mohd Ali Rustam.

MELAKA: Dunia Melayu Dunia Islam Finance House (DMDIFH) menyediakan pinjaman sehingga RM50,000 kepada individu yang gagal mendapat kelulusan bank bagi membeli rumah kos rendah di negara ini.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Ali Rustam, berkata pinjaman itu bagi membolehkan individu terbabit memperoleh kediaman impian, meskipun permohonan pinjaman mereka ditolak oleh bank.

"DMDIFH memberi pinjaman kepada pemohon rumah kos rendah sehingga RM50,000 dengan bayaran balik dalam tempoh maksimum 25 tahun dan kadar faedah enam peratus setahun.

"Sejak mendapat lesen pinjaman daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 1 Julai tahun lalu, DMDIFH sudah meluluskan permohonan pinjaman perumahan kepada 62 pemohon yang sebahagian besarnya gagal mendapat kelulusan bank atas beberapa faktor," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Ali yang juga Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) berkata, daripada jumlah pemohon pinjaman berkenaan, DMDIFH sudah membayar RM600,000 kepada pemaju perumahan, manakala baki RM1.4 juta lagi dalam proses pembayaran, termasuk kepada Lembaga Perumahan Melaka (LPM) yang memiliki rumah kos rendah berkenaan.

Berita Harian X