Jumaat, 9 September 2016 | 11:26am

Pengukuhan dolar kurangkan nilai ringgit

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan permintaan lebih baik bagi mata wang AS susulan pengeluaran data tuntutan pengangguran negara itu yang bertambah baik, sekali gus memberi petunjuk pasaran buruh gergasi ekonomi berkenaan kekal kukuh.

Pada jam 9 pagi, ringgit diniagakan pada 4.0630/0680 berbanding dolar AS, berbanding dengan 4.0420/0500 pada Khamis.

Minat pelabur kebanyakannya beralih kepada dolar AS memandangkan pasaran tempatan kekurangan pemangkin untuk melonjakkan ringgit.

Sementara itu, nota tempatan diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Ringgit jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0058/0013 daripada 3.0012/0089 tetapi meningkat berbanding yen kepada 3.9720/9789 daripada 3.9768/9866 pada Khamis.

Ia susut berbanding euro kepada 4.5778/5842 daripada 4.5574/5668 sebelumnya dan merosot berbanding pound Britain kepada 5.4079/4153 daripada 5.3985/3100 semalam. - BERNAMA

Berita Harian X