Selasa, 30 Ogos 2016 | 7:50pm

DRB-HICOM raih pendapatan RM2.50b pada suku pertama

KUALA LUMPUR: DRB-HICOM Bhd meraih pendapatan RM2.50 bilion bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2016, berbanding RM2.95 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Dalam tempoh dikaji, konglomerat itu mencatat kerugian RM121.34 juta berbanding keuntungan sebelum cukai RM16.70 juta pada suku sama 2015.

Menurut DRB-HICOM, keputusan kewangan lebih rendah itu disebabkan penurunan jualan kenderaan oleh syarikat automotif kumpulan yang mencerminkan penurunan jumlah keseluruhan industri sebanyak 6.3 peratus bagi tempoh April-Jun 2016 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Sektor perkhidmatan kumpulan bagaimanapun, mencatat pendapatan lebih tinggi disumbangkan oleh prestasi lebih baik perniagaan perbankan dan logistik, kata syarikat itu dalam kenyataan, hari ini.

Berikutan keadaan keseluruhan pertumbuhan ekonomi lebih perlahan dan pasaran yang kompetitif, DRB-HICOM berkata, ia akan terus menumpukan usaha penyatuan perniagaan untuk memastikan pertumbuhan perniagaan yang berterusan dan mapan.

Pemegang saham DRB-HICOM baru-baru ini memberi kelulusan untuk menyatukan perniagaan logistik melalui perkhidmatan integrasi oleh KL Airport Services Sdn Bhd, Konsortium Logistik Berhad dan DRB-HICOM Asia Cargo Express Sdn Bhd ke dalam Pos Malaysia Bhd.

Usaha itu dijangka selesai pada akhir bulan depan dan ia akan menjadikan Pos Malaysia sebagai anak syarikat kumpulan, dengan pegangan sebanyak 53.5 peratus.

DRB-HICOM juga memberi tumpuan kepada pelaksanaan berterusan terhadap pelan pemulihan strategik anak syarikatnya, Proton Holdings Bhd.

"Sebagai sebahagian daripada rancangan itu, Proton kini sedang mengenal pasti rakan kongsi strategik pada separuh pertama 2017 untuk membantu mengembangkan perniagaan automotifnya.

"Pelancaran model Perdana baharu dan Persona baru-baru ini dijangka meningkatkan pertumbuhan sektor automotif kumpulan," katanya.

Proton juga dijadual melancarkan beberapa lagi model baharu dalam beberapa bulan akan datang.

INFO

  • DRB-HICOM adalah konglomerat utama Malaysia
  • Perniagaannya berteraskan Automotif; Perkhidmatan; dan Hartanah, Aset & Pembinaan.
  • Mempunyai lebih 90 anak syarikat yang aktif dan pekerja lebih 60,000 orang.
Berita Harian X