Sabtu, 27 Ogos 2016 | 11:23am

Ringgit mungkin mengukuh minggu depan

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka mengukuh berbanding dolar AS minggu depan berikutan dolar AS yang lebih lemah serta pemulihan harga minyak, kata peniaga.

Hong Leong Research berkata, ringgit menyusut 0.56 peratus minggu ke minggu kepada 4.0168 berbanding dolar AS disebabkan harga minyak yang rendah.

Menurutnya, mata wang tempatan itu meningkat berbanding lapan daripada negara G10, kebanyakannya negara Eropah dan komoditi utama.

"Kami yakin sedikit ke atas ringgit berbanding dolar AS kerana kami menjangka pemulihan berterusan dalam harga minyak dan dolar yang lebih lemah menjelang data peringkat pertama AS," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Janet Yellen dijangka memberi petunjuk malam ini yang akan menyokong kenaikan dalam kadar faedah dalam mesyuarat dasar kewangan akan datang.

"Tumpuan pelabur akan beralih kepada rantau lain, termasuk Asia untuk mencari aset yang membawa hasil lebih tinggi.

"Pengaliran masuk dana asing akan membantu meningkatkan ringgit minggu depan, terutama minat dalam pelaburan hutang negara Malaysia yang kini pada paras tertinggi, dengan pegangan asing semasa pada 51 peratus," katanya.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, mata wang tempatan itu jatuh berbanding dolar AS kepada 4.0130/0200 daripada 4.0105/0165 sebelum ini.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit ditutup keseluruhannya lebih tinggi, kecuali pound Britain.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.9669/9729 daripada 2.9776/9834 Jumaat lepas, menokok berbanding yen kepada 3.9942/1024 daripada 4.0017/0093 dan menambah berbanding euro kepada 4.5299/5414 daripada 4.5375/5455 sebelum ini.

Ia menyusut berbanding pound Britain kepada 5.2956/3056 daripada 5.2698/2793 Jumaat lepas. - BERNAMA

Berita Harian X