Khamis, 25 Ogos 2016 | 7:42pm

Axiata Group sedia Capex sehingga RM6 bilion

PRESIDEN merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata Group Bhd, Tan Sri Jamaludin Ibrahim pada sidang media kewangan suku kedua Axiata di Menara Axiata. - Foto Surianie Mohd Hanif
PRESIDEN merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata Group Bhd, Tan Sri Jamaludin Ibrahim pada sidang media kewangan suku kedua Axiata di Menara Axiata. - Foto Surianie Mohd Hanif

KUALA LUMPUR: AXIATA Group Bhd memperuntukkan sehingga RM6 bilion bagi perbelanjaan modal (Capex) untuk tahun kewangan semasa berakhir 31 Disember 2016.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Jamaludin Ibrahim, berkata sebahagian besar Capex itu akan dimanfaatkan, terutama bagi mengembangkan perkhidmatan evolusi jangka panjang (LTE) di tiga negara - Malaysia, Indonesia dan Bangladesh.

"Kami meningkatkan kualiti rangkaian, khususnya berkaitan 4G di ketiga-tiga negara terbabit. Kira-kira sekitar RM1.5 bilion daripada peruntukan Capex adalah bagi operasi di Malaysia.

"Capex itu tidak termasuk pembayaran fi spektrum," katanya pada taklimat media prestasi suku kewangan kedua 2016 kumpulan itu di sini, hari ini.

Menurut MIDF Research, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang berunding dengan empat syarikat telekomunikasi utama negara - Digi.Com Bhd, Maxis Bhd, Celcom Axiata dan U Mobile Sdn Bhd, berhubung harga fi spektrum baharu bagi 900 megahertz (MHz) dan 1,800MHz.

Sementara itu, Axiata Group meraih pendapatan RM5.310 bilion bagi suku kewangan kedua berakhir 30 Jun 2016, meningkat 12.8 peratus berbanding RM4.707 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya. Bagaimanapun, keuntungan bersihnya susut 63.1 peratus kepada RM232.268 juta daripada RM629.624 juta.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2016, Axiata Group mencatatkan keuntungan bersih terkumpul RM633.468 juta, menurun 45.7 peratus berbanding RM1.164 bilion tempoh sama tahun 2015, manakala pendapatan meningkat 9.1 peratus kepada RM10.318 bilion daripada RM9.457 bilion.

Jamaludin berkata, faktor utama penurunan keuntungan ialah penyusutan ketara nilai ringgit yang memberi kesan kepada tukaran wang asing, iaitu membabitkan nilai sekitar RM300 juta, sungguhpun ia hanya masuk kira perakaunan dan tidak membabitkan tunai sebenar.

"Faktor lain ialah pelunasan dan kos kewangan," katanya.

Mengulas peningkatan pendapatan pada suku dikaji, beliau berkata kepelbagaian portfolio perniagaan merentas Asia menyaksikan kumpulan mencatat pendapatan lebih baik, disebabkan terutama pengukuhan lebih pantas daripada jangkaan pengambilalihan Ncell Pte Ltd yang selesai pada April 2016.

Pengambilalihan pengendali mudah alih nombor satu Nepal itu membabitkan pertimbangan tunai AS$1.37 bilion (RM5.67 bilion).

Bagaimanapun, ia turut menyumbang peningkatan kos tukaran wang asing kumpulan disebabkan kelemahan ringgit.

Dalam perkembangan berkaitan, Jamaludin berkata kemasukan Axia Group ke dalam pasaran menara pemancar Myanmar lewat 2015, menyaksikan portfolio edotco Group Sdn Bhd kini merentas lima pasaran, iaitu Malaysia, Bangladesh, Kemboja, Sri Lanka dan Myanmar. Edotco juga dalam proses memulakan operasi di Pakistan.

Edotco adalah penyedia perkhidmatan infrastruktur komunikasi bersepadu pertama di Asia.

Info:

Cabaran Axiata Group pada separuh kedua 2016

* Halangan utama termasuk ketidaktentuan nilai ringgit dan makroekonomi global

* Struktur harga dan fi peruntukan semula spektrum di Malaysia masih belum jelas

* Pokemon Go dijangka memberikan sumbangan kewangan positif

Berita Harian X