Rabu, 24 Ogos 2016 | 4:22pm

Hapuskan cukai penumpang di terminal kos tambang murah

PRESIDEN Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan (MATTA), Datuk Hamzah Rahmat. -Foto Muhd Zaaba Zakeria
PRESIDEN Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan (MATTA), Datuk Hamzah Rahmat. -Foto Muhd Zaaba Zakeria

KUALA LUMPUR: Kerajaan disyor menghapuskan cukai lapangan terbang bagi penumpang antarabangsa di terminal kos tambang murah kerana membebankan pengguna.

Ketika ini, pengguna terpaksa membayar caj RM32 untuk perkara berkenaan.

Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan (MATTA), Datuk Hamzah Rahmat, berkata pengguna di terminal kos tambang murah berdepan pelbagai masalah kemudahan seperti terpaksa berjalan jauh untuk menaiki pesawat, laluan pengguna sempit dan tidak mesra orang kurang upaya (OKU) serta warga emas selain jauh daripada kaunter pendaftaran masuk.

"Pembayaran caj penumpang antarabangsa kena setanding dengan perkhidmatan dan kemudahan yang ditawarkan kepada pengguna.

"Berapa nilai atau jumlah yang perlu di bayar bukan isunya tetapi sejauh mana pengguna boleh menikmati kemudahan daripada duit yang dibayar kepada syarikat penerbangan," katanya pada sidang media Pelancaran Syarikat Penerbangan Emirates sebagai pesawat rasmi MATTA 2016 yang berlangsung pada 2 hingga 4 September ini.

Hadir sama, Pengurus Penerbangan Emirates Singapura, Malaysia dan Brunei, Andrew Bunn.

Ketika ini, pengguna turut dikenakan cukai lapangan terbang bagi penumpang antarabangsa di semua lapangan terbang pada harga RM65 bagaimanapun, kemudahannya setaraf dan memuaskan hati pengguna.

Berita Harian X