Selasa, 23 Ogos 2016 | 8:52pm

Mercedes-Benz yakin catat jualan tertinggi tahun ini

KETUA Pegawai Eksekutif dan Presiden Mercedez Benz Malaysia, Dr Claus Weidner (kiri) bersama Timbalan Presiden, Jualan dan Pemasaran Mercedez Benz Malaysia, Mark Raine (kanan) dan Naib Presiden Pengeluaran Kilang Mercedez Benz Malaysia, Ingbert Grombach (tengah) pada majlis pelancaran pemasangan tempatan GLC Mercedez Benz. - Foto Farizul Hafiz Awang
KETUA Pegawai Eksekutif dan Presiden Mercedez Benz Malaysia, Dr Claus Weidner (kiri) bersama Timbalan Presiden, Jualan dan Pemasaran Mercedez Benz Malaysia, Mark Raine (kanan) dan Naib Presiden Pengeluaran Kilang Mercedez Benz Malaysia, Ingbert Grombach (tengah) pada majlis pelancaran pemasangan tempatan GLC Mercedez Benz. - Foto Farizul Hafiz Awang

PEKAN: Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd yakin mencatat satu lagi rekod jualan tertinggi baharu tahun ini berbanding 10,845 unit tahun lalu, sekali gus mengukuhkan kedudukannya selaku peneraju segmen kenderaan premium di negara ini.

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Mercedes-Benz Malaysia, Mark Raine, berkata keyakinan itu bersandarkan prestasi terkini syarikat yang merekodkan jualan lebih 7,000 unit, peningkatan 10 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, unjuran peningkatan jualan tahun ini antara lain bakal disumbangkan oleh segmen Kenderaan Utliti Sukan (SUV), yang mendapat sambutan memberangsangkan daripada pengguna di negara ini.

Beliau berkata, sejak pengenalan SUV mewah - GLC, GLE dan GLE Coupe di pasaran Malaysia awal tahun ini, kira-kira 700 unit kenderaan berkenaan sudah dijual sehingga kini, sekali gus meningkatkan penguasaan pasaran syarikat dalam segmen itu.

"Kami akan terus mengukuhkan penguasaan pasaran kami dalam segmen ini dengan membuat pelaburan besar menerusi pelancaran SUV GLC pemasangan tempatan (CKD).

"Bermula hari ini, kami secara rasminya melancarkan model SUV Mercedes-Benz GLC CKD yang dipasang di kilang kami di Pekan, Pahang.

"Dengan pengenalan SUV CKD ini, ia menandakan satu lagi pencapaian bermakna untuk pasaran automotif Malaysia," katanya pada sidang media sempena pelancaran SUV Mercedes-Benz GLC 250 4Matic CKD di Pekan, Pahang, petang tadi.

Yang turut hadir, Presiden Kilang Pengeluaran Mercedes-Benz Malaysia, Ingerbt Grombach.

SUV GLC 250 yang disasarkan untuk memenuhi gaya hidup aktif rakyat Malaysia, dijana enjin 2.0 liter dengan transmisi sembilan kelajuan 9G-Tronic.

Jentera ini menghembur kuasa output (kW/hp) 155/211 pada 5,500 dan tork (Nm) 350 pada 1,200 - 4,000.

Berdasarkan pandu uji pengeluar, ia mampu mencatatkan kelajuan maksium 222 kilometer per jam (km/j) dan kuasa pecutan 0-100 km dalam masa 6.5-7.1 saat.

Tempahan untuk SUV baharu ini dibuka mulai hari ini dan ia dijual pada harga atas jalan tanpa insurans, termasuk GST RM325,888.00.

Berita Harian X