Jumaat, 5 Ogos 2016 | 5:37pm

Saham Asia naik susulan pakej rangsangan pasca Brexit

SINGAPURA/TOKYO: Kebanyakan saham Asia meningkat hari ini selepas Bank of England (BoE) melancarkan pakej rangsangan pasca Brexit yang menyebabkan mata wang pound terjejas.

Rali semalaman harga minyak mentah juga didorong minat pelabur, tetapi berhati-hati sebelum laporan gaji bukan perladangan AS bagi Julai pada hari ini.

Saham Eropah juga meningkat dengan CMC Markets meramalkan FTSE 100 Britain akan dibuka 0.4 peratus lebih tinggi dan DAX Jerman serta CAC 40 Perancis memulakan dagangan 0.3 peratus lebih tinggi.

Indeks luas MSCI saham Asia Pasifik di luar Jepun meneruskan peningkatan kepada 1.1 peratus.

Indeks saham dunia MSCI naik 0.2 peratus pada Jumaat.

Bagaimanapun, Nikkei Jepun ditutup rendah, jatuh 1.9 peratus dalam seminggu ekoran kekecewaan pelabur terhadap langkah rangsangan baharu yang diumumkan bank pusat dan kerajaan.

Indeks CSI 300 China menokok 0.4 peratus dan dilihat akan berakhir 0.3 peratus lebih tinggi pada akhir minggu ini.

Dolar turun 0.1 peratus kepada 101.07 yen, euro naik 0.1 peratus kepada AS$1.1143.

Emas naik 0.2 peratus kepada AS$1,364.20 satu aun, menjejaki kenaikan 1 peratus pada minggu ini. - REUTERS

Berita Harian X