Selasa, 2 Ogos 2016 | 2:04pm

Penggabungan Etika, Permanis selesai

ERWIN Selvarajah.
ERWIN Selvarajah.

KUALA LUMPUR: Etika International Holdings dan Permanis Sandilands Sdn Bhd memuktamadkan penggabungan mereka dengan mengumumkan pembentukan Etika Group of Companies (Etika) bernilai hampir RM2 bilion.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Erwin Selvarajah, berkata penggabungan itu menyaksikan pembentukan gergasi minuman Malaysia menerusi jumlah jualan mencecah RM1.5 bilion disumbangkan dua segmen produk iaitu minuman ringan dan tenusu.

Katanya, pengukuhan kumpulan itu akan meletakkan Etika sebagai satu-satunya pengeluar minuman bersepadu halal di Malaysia dengan memiliki 12 kategori minuman dan pasaran di rantau Asia Tenggara.

"Malaysia akan tetap menjadi pasaran utama kumpulan, namun kehadiran di pasaran serantau termasuk Singapura khususnya menerusi kontrak jenama PepsiCo, produk tenusu di Indonesia dan Myanmar akan memberi sumbangan ketara kepada kumpulan.

"Segmen minuman menyumbangkan dua pertiga pendapatan kumpulan manakala tenusu satu pertiga," katanya dalam sidang media mengumumkan penggabungan itu di Kuala Lumpur, pagi ini.

Berita Harian X