Isnin, 25 Julai 2016 | 9:44pm

Untung Bursa Malaysia meningkat

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Bhd mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) RM99.411 juta bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2016, meningkat tiga peratus berbanding RM96.544 juta pada tempoh sama 2015.

Ia diraih daripada pendapatan yang meningkat empat peratus kepada RM263.651 juta berbanding RM254.113 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sri Tajuddin Atan, berkata pendapatan operasi dalam suku dikaji meningkat 3.3 peratus kepada RM248.4 juta daripada RM240.4 juta.

"Sungguhpun berhadapan persekitaran pasaran mencabar, prestasi PATAMI separuh tahun itu adalah terbaik sejak 2008," katanya pada taklimat media mengumumkan prestasi kewangan setengah tahun Bursa Malaysia di sini, hari ini.

Tajuddin berkata, sementara pendapatan dagangan saham di pasaran sekuriti susut sedikit disebabkan aktiviti perdagangan lebih rendah, pendapatan dagangan pasaran derivatif mencatat peningkatan, begitu juga pasaran modal Islam Bursa Suq Al-Sila (BSAS).

Katanya, bagi tempoh dikaji nilai Purata Dagangan Harian (ADV) bagi Dagangan Di Pasaran (OMT) jatuh 4.2 peratus kepada RM1.91 bilion.

"Bagaimanapun, Kontrak Purata Harian (ADC) bagi pasaran derivatif berkembang 8.1 peratus untuk mencecah 59,790 kontrak, dipacu peningkatan dagangan kontrak hadapan minyak sawit mentah (FCPO) dan dagangan hadapan FBM KLCI (FKLI)," katanya.

Menyentuh pasaran modal Islam, Tajuddin berkata BSAS mencatat prestasi memberangsangkan apabila meraih pertumbuhan 33.5 peratus dalam ADV untuk mencecah nilai RM17.0 bilion.

Berdasarkan prestasi sukuan, Bursa Malaysia mencatat PATAMI RM49.475 juta pada suku kewangan kedua berakhir 30 Jun 2016, jatuh sedikit berbanding RM49.489 juta suku sama tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, pendapatan pada suku itu meningkat kepada RM129.718 juta daripada RM127.019 juta.

Beliau berkata, dalam suku dikaji ADV bagi pasaran sekuriti menyederhana kepada RM1.84 bilion, sementara ADV bagi pasaran derivatif meningkat 21.7 peratus kepada 61,611 kontrak.

Bagi pasaran modal Islam pula, ADV BSAS pada suku dikaji berada pada RM15.4 bilion, menokok 13.6 peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya.

Mengenai tinjauan prestasi pasaran bagi separuh kedua 2016, beliau berkata meskipun berhadapan persekitaran luaran mencabar, terkini integriti pasaran tempatan berada dalam keadaan baik dengan aktiviti dagangan dijalankan secara adil dan terurus, disokong langkah perlindungan mencukupi.

"Bagaimanapun, Bursa Malaysia kekal berhati-hati bagi baki tahun ini, serta komited dalam usaha menjadikan pasaran saham dan derivatif Malaysia lebih menarik dan bertenaga," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Bursa Malaysia tidak bercadang menubuhkan entiti berasingan bagi mengambil alih fungsi kawal atur sedia ada, berikutan sistem sedia ada berfungsi dengan baik.

Bagaimanapun, Bursa Malaysia sentiasa melihat bagaimana menambah baik sistem kawal atur sedia ada, katanya.

Fakta:

Bursa Malaysia

Pendapatan operasi separuh pertama 2016 menokok 3.3% kepada RM248.4 juta

Perbelanjaan operasi separuh pertama 2016 meningkat 5.0% kepada RM123.6 juta

Pendapatan sesaham (EPS) separuh pertama 2016 naik 2.8% kepada 18.6 sen

Berita Harian X