Ahad, 24 Julai 2016 | 2:58pm

Pembinaan stesen tenaga Jimah East RM12b bermula

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) yakin pembinaan projek loji tenaga Jimah East Power (JEP) bernilai RM12 bilion akan membantu syarikat utiliti elektrik utama negara itu menjamin bekalan tenaga elektrik berkekalan di Semenanjung pada masa depan.

Menerusi projek JEP, dua unit penjana tenaga baharu akan dibina bagi menghasilkan tenaga elektrik berkapasiti 2,000 megawatt (MW), sekali gus membantu TNB meningkatkan kapasiti bekalan tenaga elektrik daripada 22,747.53 MW kepada 25,198.53 MW menjelang akhir tahun 2020.

"Projek JEP akan menambah satu lagi loji tenaga arang batu berteknologi tinggi kepada portfolio penjanaan tenaga elektrik TNB, mengembangkan lagi aset portfolio operasi jana kuasa bernilai tinggi kepada tiga selepas kewujudan loji Manjung 4 dan Manung 5.

"Ini akan mengukuhkan kapasiti penjanaan tenaga elektrik TNB di peringkat domestik dan antarabangsa serta pencapaian operasi syarikat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pembinaan JEP di Port Dickson bermula hari ini dengan disaksikan Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie; Naib Presiden Kerjasama Tenaga, Datuk Nor Azman Mufti; Ketua Pegawai Kewangan, Datuk Fazlur Rahman Zainuddin; Pengurus Kanan Operasi Mitsui & Co, Yoshiaki Koga dan Pengurus Projek Kumpulan Chugoku Electric Power Co, Hitoshi Kanetsuki.

TNB menguasai 70 peratus projek berkenaan menerusi pengambilalihan saham Edra Global Energy Bhd dalam Jimah East Power Sdn Bhd (JEP) daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bernilai RM46.98 juta pada Julai 2015.

Sebelum ini, projek itu dikenali sebagai Projek 3B dibangun bersama antara Mitsui & Co dan Chugoku Eletric Power, syarikat utiliti tenaga terbesar Jepun dengan TNB menjadi sebagai rakan strategik dalam JEP manakala setiap syarikat memiliki 15 peratus pegangan saham dalam syarikat berkenaan.

Berita Harian X