Jumaat, 22 Julai 2016 | 10:10pm

Media Prima lantik dua Ahli Lembaga Pengarah baharu

Tan Sri Ismail Omar. - Foto NSTP/Khairull Azry Bidin
Tan Sri Ismail Omar. - Foto NSTP/Khairull Azry Bidin

KUALA LUMPUR: Tan Sri Ismail Omar dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Media Prima Bhd dan anak syarikatnya, The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP), berkuat kuasa hari ini.

Konglomerat media terbesar Malaysia itu turut melantik Datuk Loo Took Gee sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif bagi Media Prima dan anak syarikatnya, Media Prima Digital Sdn Bhd serta Synchrosound Studio Sdn Bhd, berkuat kuasa 6 Ogos 2016.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri FD Iskandar, berkata pelantikan itu mencerminkan komitmen kumpulan melaksanakan amalan dan tadbir urus korporat terbaik dengan 80 peratus komposisi lembaga pengarah adalah pengarah bebas bukan eksekutif.

Beliau berkata, pelantikan baharu itu juga bertujuan menambah bilangan kehadiran pengarah wanita kepada 30 peratus.

"Media Prima komited terhadap melaksanakan strategi mengukuhkan kedudukan sebagai syarikat media terunggul di Malaysia.

"Pelantikan Ismail dan Took Gee akan memberikan sumbangan ketara kepada kekukuhan lembaga pengarah di Media Prima dan anak syarikat kami," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Sebagai Ahli Lembaga Pengarah baharu, Ismail, 63, yang juga bekas Ketua Polis Negara, dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Audit dan Jawatankuasa Pengurusan Risiko.

Sementara itu, Took Gee, 60, kini adalah Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air.

Berita Harian X