Isnin, 18 Julai 2016 | 1:29pm

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka lebih rendah pagi ini susulan kejatuhan dalam kaunter utama terpilih seperti TNB dan Petronas Gas.

Pada jam 9.06 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.69 mata kepada 1,665.72 selepas dibuka 3.48 mata lebih rendah pada 1,664.92.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 108 berbanding 80 manakala 163 kaunter tidak berubah, 1,369 tidak didagangkan dan 45 yang lain digantung.

Sejumlah 62.29 juta saham didagangkan bernilai RM29.50 juta.

Di kalangan kaunter utama, TNB susut lapan sen kepada RM14.22, Petronas Gas jatuh 18 sen kepada RM22.02, MISC dan Hong Leong susut enam sen setiap satu masing-masing kepada RM7.39 dan RM13.24, manakala Maybank menokok satu sen kepada RM8.18 dan Public Bank pula naik empat sen kepada RM19.46.

Pedagang berkata, kegagalan rampasan kuasa tentera di Turki tidak memberi impak besar kepada bursa saham serantau berikutan penanda aras Nikkei di Jepun mencatat kenaikan 0.68 peratus pagi ini kepada 16,497.85, Hang Seng di Hong Kong menambah 0.46 peratus kepada 21,659.25 dan Straits Times Index Singapura menokok 0.35 peratus kepada 2,935.47.

Sementara itu, Kenanga Research berkata FBM KLCI dijangka mencatat kenaikan minggu ini, dengan paras halangan pada 1,670 dan halangan berikutnya pada 1,700 minggu depan, manakala sokongan paras dasar dilihat sekitar 1,662 dan 1,643.

Dikalangan kaunter rugi, Dutch Lady jatuh 70 sen kepada RM60.30 manakala Ajinomoto susut 46 sen kepada RM13.04, MAHB menguncup 41 sen kepada RM6.03, dan Genting Plantation jatuh 18 sen kepada RM10.28.

Indeks FBM EMAS susut 25.15 mata kepada 11,632.72, FBMT 100 jatuh 22.72 mata kepada 11,337.36 dan FBM EMAS Syariah susut 34.91 mata kepada 12,193.20.

Indeks FBM 70 susut 42.93 mata kepada 13,154.57 tetapi FBM ACE menokok 5.31 mata kepada 5,488.11.

Berdasarkan sektor, indeks Kewangan menambah 0.76 mata kepada 14,252.88, Perladangan susut kepada 7,527.26 dan Perindustrian menguncup 14.20 mata kepada 3,126.35. - BERNAMA

Berita Harian X