Sabtu, 16 Julai 2016 | 12:59pm
RINGGIT dijangka diniagakan sekitar paras semasa selain rendah berbanding dolar Amerika Syarikat minggu depan. - Foto hiasan
RINGGIT dijangka diniagakan sekitar paras semasa selain rendah berbanding dolar Amerika Syarikat minggu depan. - Foto hiasan

Ringgit dijangka diniagakan pada paras semasa minggu depan

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan sekitar paras semasa selain rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan, sebahagian besarnya dipengaruhi sentimen pasaran luaran dan dalaman, kata peniaga.

Peniaga berkata, mata wang tempatan itu juga dijangka rendah berikutan aktiviti pengambilan untung.

"Pengambilan untung mungkin berlaku memandangkan mata wang tempatan telah mencecah paras tertinggi dalam tempoh 10 minggu berbanding dolar AS minggu ini susulan harga bon kerajaan terus meningkat selepas langkah mengejut Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan kadar faedah pada Rabu," kata peniaga.

Bank pusat telah menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus, pertama kali sejak 2009, untuk memastikan ekonomi kekal dalam trajektori kukuh.

Sementara itu, Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata walaupun penurunan berkenaan tidak akan memberi kesan buruk kepada mata wang tempatan, ia masih menawarkan manfaat kepada ringgit dengan menarik pelaburan asing ke dalam negara.

"Kami melihat penurunan OPR sebagai langkah awal untuk memastikan inflasi kekal terkawal dan ekonomi berada pada laluan pertumbuhan kukuh.

"Ini disahkan berdasarkan hasil tiga tahun bon Malaysia yang susut kepada paras terendahnya sejak 2009, dan ringgit mengukuh selepas mencecah paras tertinggi dalam tempoh 10 minggu berbanding dolar AS," katanya.

Nazri Khan, bagaimanapun berkata, Affin Hwang masih yakin nilai saksama ringgit akan berada antara 3.95 dan 4.00 tahun ini.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi sebelum mesyuarat dasar monetari BNM selama dua hari berakhir pada Rabu.

Nota tempatan itu meneruskan momentum kenaikan walaupun selepas pengumuman penurunan OPR.

Mengikut Jumaat ke Jumaat, ringgit tinggi berbanding dolar AS pada 3.9450/9500 daripada 4.0300/0350 pada minggu sebelum ini.

Mata wang tempatan turut diniagakan tinggi berbanding mata wang lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.9335/9381 daripada 2.9885/9931, mengukuh berbanding yen kepada 3.7242/7306 daripada 4.0052/0121 serta naik berbanding euro kepada 4.3935/3007 daripada 4.4624/4688.

Bagaimanapun, ia susut berbanding pound kepada 5.2918/2009 daripada 5.2128/2201.

Nota tempatan turut diniagakan kebanyakannya rendah berbanding pound memandangkan mata wang asing itu stabil susulan pengumuman United Kingdom mengenai pelantikan Theresa May sebagai Perdana Menteri.

- BERNAMA

Berita Harian X