Isnin, 13 Jun 2016 | 10:05pm

Pulau Kosmetik Langkawi dibina akhir tahun ini

MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Madius Tangau (empat dari kiri) menyaksikan pertukaran MOU persefahaman di antara Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation), Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal (dua dari kiri) dan Pengasas dan Pengarah Urusan Cosmetic Valley France, Jean Luc Ansel (dua dari kanan) semasa Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian. Turut kelihatan, Timbalan Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah (tiga dari kiri) dan Penasihat Sains kepada Perdana Menteri, Prof Tan Sri Zakri Abdul Hamid (kanan) di Menara Atlan, Jalan Ampang. - Foto Muhd Asyraf Sawal

KUALA LUMPUR: Malaysian Bioeconomy Development Corp Sdn Bhd (Bioeconomy Corp) menjalin kerjasama dengan Cosmetic Valley, pengeluar kosmetik dari Perancis untuk membangunkan Pulau Kosmetik Langkawi (LCI) yang dijangka dibina di Ulu Melaka, akhir tahun ini.

Pembangunan kluster yang dibina di pulau pelancongan kepelbagaian geo itu membabitkan tiga fasa dan dianggarkan membabitkan pelaburan RM500 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corp, Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal, berkata projek berkenaan yang dibangunkan di kawasan seluas 300 hektar, dijangka siap dalam tempoh lima tahun.

"Fasa pertama membabitkan kawasan seluas 80.93 hektar di Ulu Melaka. Pembinaan dijangka bermula sebelum Disember ini dan mengambil masa kira-kira dua tahun untuk siap," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian cadangan kerjasama antara Bioeconomy Corp dan Cosmetic Valley di sini, hari ini.

Kerjasama berkenaan untuk menjadikan Malaysia sebagai 'pintu masuk' ASEAN bagi industri herba, kosmetik dan minyak wangi.

Majlis berkenaan dirasmikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Madius Tangau.

Yang turut hadir timbalannya, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah serta Pengasas dan Pengurus Besar Cosmetic Valley, Jean Luc Ansel.

Nazlee berkata, pembangunan itu turut membabitkan penyediaan kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D), peladangan untuk penanaman herba serta bahan mentah lain yang diperlukan bagi penghasilan minyak wangi.

"Turut disediakan pengilangan, pusat latihan dan pusat keusahawanan yang dapat membantu sebagai pemangkin kepada industri berkaitan," katanya.

Sementara itu, Madius, berkata projek pembangunan kluster itu akan menjadi sebahagian agenda bio ekonomi yang besar dalam usaha membawa industri minyak wangi dan kosmetik tempatan ke peringkat antarabangsa.

Katanya, Malaysia akan menjadi negara pertama di ASEAN dalam membina kluster minyak wangi, kosmetik dan herba menerusi kerjasama dengan Perancis.

"Dengan kerjasama dengan Cosmetic Valley, pusat kosmetik Jepun dan LCI akan membentuk segi tiga emas kosmetik yang ia membolehkan kita memacu bio ekonomi di setiap negara berkenaan," katanya.

INFO-

* Projek meningkatkan kedudukan Langkawi sebagai hab teknologi kompetitif di ASEAN dan 10 pulau pelancongan terbaik dunia.

* Cosmetic Valley adalah rangkaian dan kluster kecantikan terbesar di dunia berpangkalan di Perancis

* Cosmetik Valley juga adalah pusat penyumberan dunia dalam industri kosmetik dan minyak wangi

Berita Harian X