Rabu, 8 Jun 2016 | 6:07pm

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

Ringgit Malaysia dijangka terus lemah minggu depan dan mencecah paras RM4.48 berbanding dolar US. - Foto Hafiz Sohaimi
Ringgit Malaysia dijangka terus lemah minggu depan dan mencecah paras RM4.48 berbanding dolar US. - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat yang mendapat permintaan pada saat-saat akhir urus niaga, hari ini.

Pada jam 5 petang, ringgit disebut harga pada 4.0590/0640 berbanding dolar AS daripada 4.0550/0610, semalam.

Penganalisis penyelidikan Forex Time (FXTM), Lukman Otunuga, berkata biarpun perkembangan semasa mencetuskan semula spekulasi mengenai kemungkinan kadar faedah AS dinaikkan, sentimen ke arah AS masih kekal memberangsangkan.

"Berdasarkan data menyeluruh ekonomi AS susulan catatan positif pada Mei lepas, timbul persoalan bilakah pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) akan melakukan tindakan (menaikkan kadar faedah) itu," katanya.

Sementara itu, RHB Research pula menyifatkan kestabilan harga minyak mentah global yang mencecah sekitar AS$50 setong, ternyata merangsang pergerakan ringgit pada awal bulan ini.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding kebanyakan mata wang utama lain, kecuali pound British.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0002/0041 daripada 2.9959/0024 pada Selasa dan turun berbanding euro kepada 4.6147/6220 daripada 4.6073/6157.

Ringgit juga rendah berbanding yen kepada 3.7896/7953 daripada 3.7633/7700 pada Selasa, namun meningkat berbanding pound British kepada 5.8977/9058 daripada 5.9175/9270, semalam. - BERNAMA

Berita Harian X