SEPANG: AirAsia yakin dapat memulakan semula operasinya di Jepun, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tony Fernandes.
"Kami (AirAsia) tidak kawal pengawal selia, namun AirAsia Japan nampaknya baik dan sangat yakin," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan AirAsia di sini, hari ini.
AirAsia menembusi pasaran Jepun pada 2012 melalui usaha sama dengan All Nippon Airways, namun projek itu berakhir pada 2013 susulan pertikaian berhubung amalan perniagaan.
Bagaimanapun, selepas memperoleh Sijil Pengendali Udara awal tahun ini, AirAsia secara rasminya mengumumkan ia akan memulakan semula operasi di Jepun.
Dalam perkembangan lain, Fernandes memaklumkan bahawa beliau kini boleh mengembara ke India tanpa visa memandangkan telah memperoleh status Warga India Luar Negara (OCI).
"OCI tidak membawa sebarang perbezaan bagi pemilikan atau apa sahaja kerana saya tidak boleh membeli sebarang hartanah di India, namun OCI dapat jimatkan muka surat pasport saya," katanya.
Skim OCI diperkenalkan pada Ogos 2005 dan kad OCI diberi kepada rakyat negara lain yang berketurunan India. - BERNAMA